Kerajaan Pas Kelantan Persoal Tindakan DAP

KOTA BHARU 3 Feb. – Kerajaan Pas Kelantan menempelak tin­dakan pemimpin DAP yang dilihat cuba mengganggu pentadbiran kerajaan nege­ri dengan membuat kritikan terbuka berhubung masalah banjir di negeri ini.

 

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tidak ada keperluan untuk pihaknya mengadakan siasatan awam seperti yang digesa pemimpin DAP kerana banjir besar yang melanda adalah fenomena alam yang tidak dapat dielakkan.

 

“Apa maksud dia yang mahu kerajaan negeri buat ‘siasatan awam’, ini pun saya tidak faham, siasatan awam ini apa tujuan? Kita nak buat apa dengan siasatan awam kerana banjir ini fenomena alam, bukan barang yang kita boleh sekat.

 

“Kita sudah wujudkan jawatankuasa untuk kajian isu banjir, kesan dan kaedah menangani, biarlah jawatankuasa ini buat kerja dahulu dan kita tunggu hasilnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang tindakan pemimpin DAP itu yang seolah-olah mahu mengganggu pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan dengan beberapa kritikan terbu­ka berhubung masa­lah banjir di negeri ini.

 

“Kita tidak tahu apa yang ada dalam hati dia,” katanya.

 

Dua pemimpin utama DAP iaitu penasihatnya, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guang Eng dilihat sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan Pas Kelantan.

 

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam laporan akhbar Sin Chew Daily dilapor menggambarkan Kelantan seperti tiada kerajaan termasuk menuduh kerajaan negeri tidak membuat kerja sewaktu bencana banjir.

 

Bapanya, Kit Siang pula seperti dilaporkan sebuah portal propembangkang mahu kerajaan Pas Kelantan mengadakan siasatan awam berkaitan pengurusan bencana banjir bagi mengenal pasti dan mendokumentasi segala kelemahan dan kekurangan yang telah berlaku.

 

Malah, Kit Siang bersama-sama beberapa pemimpin DAP lain turut hadir dalam majlis Pelancaran Gabungan Impian Kelantan (GIK) yang diterajui oleh bekas Exco Pas Kelantan, Datuk Husam Musa di Dewan Perniagaan Cina di sini Sabtu lalu.

 

Namun majlis pelancaran GIK dikatakan tidak dimaklumkan kepada kerajaan Pas Kelantan, malah Pengarah Pilihan Raya Pas negeri, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu seperti mempunyai ‘agenda tersembunyi’.

 

Dalam perkembangan sama, Mohd. Amar turut menempelak Guan Eng supaya menjaga mulut daripada mengeluarkan kenyata­an yang tidak menghormati rakan sejawatannya, apatah lagi sekutu dalam pembangkang.

 

“Sebagaimana yang Menteri Besar telah ulas, tuduhan Guan Eng itu satu dakwaan yang berat dan tidak patut keluar daripada mulut seorang Ketua Menteri, dia sepatutnya ada sikap hormat,” katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan penubuhan GIK untuk membantu mangsa banjir, namun perlu ada penyelara­san bagi memastikan kerja-kerja dapat dijalankan dengan lancar.

 

Tambahnya, penyelarasan pen­ting kerana bantuan seperti pembinaan rumah umpamanya mempunyai kaitan dengan bidang kuasa kerajaan negeri kerana berkait de­ngan tanah, spesifikasi bangunan dan sebagainya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.