‘Kami Tak Balas Dendam’

Jerantut: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (gambar) memberi jaminan penyokong Tok Gajah tidak akan membalas dendam ke atas penyokong Johor Darul Ta’zim (Johor DT) gara-gara kain rentang menghina Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada aksi Sumbangsih, Sabtu lalu.

 

Tengku Abdul Rahman yakin peyokong Pahang lebih matang dan profesional sambil mengamalkan budaya masyarakat bersopan santun.

 

Beliau mengaku sedih dengan tindakan memaparkan kain rentang gergasi anjing memakai sut dengan lambang FAM ketika beberapa minit perlawanan berlangsung.

 

“Saya juga kasihan kepada mereka kerana menunjukkan sikap dan tindakan kurang sopan kepada orang luar.

 

“Saya yakin ibu bapa dan guru sudah mengajar adab dan menunjukkan contoh baik kepada mereka, namun malangnya mereka melakukan tindakan sebaliknya.

 

“Apa yang mereka lakukan menggambarkan fikiran negatif dan tingkah laku yang tidak boleh menjadi contoh kepada orang lain,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa dari Kampung Kuching, Kampung Gusai, Kampung Mat Daling dan Kampung Bantal di Ulu Tembeling, semalam.

 

Turut hadir Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris.

 

Tengku Abdul Rahman berkata, rakyat Malaysia perlu mengamalkan aktiviti sukan secara sihat dan semangat kesukanan tinggi serta tidak melakukan tindakan biadab hingga memburukkan diri sendiri dan imej negara.

 

“Tindakan itu juga menggambarkan pemikiran kebudak-budakan dan jika terus diamalkan masyarakat kita, ia tidak akan membantu ke arah sebuah negara beradab dan maju,” katanya.

 

Beliau memandang serius tindakan itu dan berharap mereka yang terbabit menyesal dan menyedari apa dilakukan tidak wajar.

 

Walaupun kumpulan penyokong itu akan menerima hukuman pihak berkuasa, yang penting mereka perlu sedar perbuatan itu tidak melambangkan budaya masyarakat sebenar.

 

Tengku Abdul Rahman yakin penyokong Pahang akan melayan penyokong dan pasukan Johor DT dengan baik apabila bertandang ke Kuantan kelak.

 

“Saya percaya, penyokong Pahang tidak akan mengambil apa-apa tindakan tidak wajar dan bodoh ke atas pelawat kerana mereka tidak mahu mencemarkan maruah negeri mereka sendiri.

 

“Saya juga percaya penyokong Pahang yang terbaik, mempunyai semangat kesukanan tinggi dan sentiasa bersikap profesional dalam apa saja keputusan perlawanan kelak,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.