DAP Memang Tak Boleh Laksana Pilihanraya PBT

SHAH ALAM – Pas menegaskan rakan komponennya, DAP tetap tidak boleh melaksanakan pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) ekoran kekangan undang-undang.

 

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, isu pilihan raya PBT yang dibangkitkan lebih kepada soal perundangan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak, bukan dikaitkan dengan peristiwa 13 Mei.

 

“Saya rasa kita boleh bahagikan kepada pandangan yang lebih bersifat, adakah ia hujah-hujah perundangan atau emosi? Itu mungkin boleh dianggap sebagai cara berfikir untuk mengendalikan isu-isu yang ada.

 

“Bagi saya, PBT ini lebih kepada soal perundangan sama ada boleh buat atau tidak boleh. Sama ada persediaan awal itu sudah ada tapak atau tidak. Konsultasi, rundingan rakyat adakah telah dibuat?

 

“Kami juga nak lihat apa pelan DAP. Saya rasa itu isunya. Tapi saya tidak akan menyatakan bahawa saya tidak setuju dengan pilihan raya PBT kerana akan berlaku 13 Mei. Bagi saya, itu bukan alasan,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas forum ‘Masyarakat Majmuk dan Demokrasi di Malaysia’, di sini, hari ini.

 

Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, memutuskan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

 

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim berkata kerajaan negeri tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang.

 

Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

 

Namun begitu, Pulau Pinang tetap mahu melaksanakan pilihanraya PBT itu dan ditentang beberapa pihak termasuk rakan komponenya, Pas.

 

Mengulas lanjut, Mujahid membangkitkan persoalan mengapa DAP tidak boleh menerima hakikat bahawa undang-undang menjadi faktor utama halangan pelaksanaan tersebut.

 

“Persoalannya, dia (DAP) tidak boleh buat. Jadi, saya kata ini politik ke apa? Kalau bercakap tentang undang-undang, dia (DAP) tak boleh buat kerana adanya Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang melarang untuk mengadakan (pilihanraya). Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mahu lakukan.

 

“Sama dengan Pas (soal hudud). Isunya undang-undang. Bukan tak nak buat. Jadi, kenapa yang ini (isu PBT) dia (DAP) tidak boleh terima soal undang-undang sebagai faktor utama? Bukan soal menentang,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.