Bekas Pemimpin Terkejut Dengan Krisis MIC

Oleh: S. Kisho Kumari

 

Kuala Lumpur – Beberapa hari lepas, penulis ini menghubungi Ketua Unit Media MIC A. Puvaa untuk mendapatkan satu naskhah perlembagaan parti.

 

Dalam nada berhati-hati, beliau segera meminta maaf kepada penulis dan menyatakan bahawa beliau tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana beliau sendiri tidak dibenarkan memasuki ibu pejabat MIC, di sini.

 

Keadaan ini begitu ironis kerana para petugas parti sendiri, juga beberapa pemimpin parti, dihalang daripada memasuki bangunan untuk menjalankan tugas mereka atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh mereka “yang bertanggungjawab” menguasai Menara Manickavasagam di Jalan Rahmat, di sini, yang menempatkan ibu pejabat MIC.

 

Sementara itu, bekas pemimpin dan veteran parti, yang mengikuti dengan teliti setiap perkembangan yang berlaku di dalam MIC jelas terkejut terhadap apa yang berlaku kepada parti yang berusia 68 tahun itu.

 

Mereka mahu para pemimpin pelbagai kumpulan ini bertemu dan menyelesaikan perbezaan mereka, meskipun mereka mengetahui malah mengakui bahawa ia adalah suatu tugas amat besar sekali memandangkan ego beberapa tokoh yang terlibat.

 

Apabila dihubungi untuk mendapatkan komennya terhadap apa yang berlaku kepada MIC sekarang, bekas Setiausaha Agung MIC dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat DP Vijandran meluahkan kata-kata: “Saya berasa sangat malu!”

 

Beliau berasa tidak percaya bagaimana pergolakan krisis dalaman yang berlaku telah memporak-perandakan parti dalam tempoh hanya dua bulan.

 

“Kami telah bekerja keras untuk membina parti ini dan ia kini menuju kehancuran.

 

“Saya berharap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bersama Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dapat memberitahu kepada para pemimpin MIC mengenai apa yang berlaku dan akibatnya, serta mengarahkan mereka kembali bersatu untuk menyelamatkan parti,” katanya kepada Bernama.

 

Tetapi Vijandran berpandangan bahawa ia bukanlah suatu tugas yang mudah untuk menjadi pengantara antara puak bertelagah dan menyelesaikan krisis yang berlaku kerana “ia melibatkan banyak egoisme di sini … tetapi saya berharap mereka semua akan meletakkan kepentingan parti dan Barisan Nasional (BN) mengatasi ego mereka”.

 

Krisis dalaman MIC yang berlaku itu kini menjadi semakin parah setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 5 Dis tahun lepas mengeluarkan arahan kepada parti itu supaya mengadakan pemilihan baharu dalam tempoh 90 hari bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

 

Perintah pemilihan semula parti itu dikeluarkan berikutan penyelewengan yang berlaku pada perhimpunan agung parti itu di Melaka pada 30 Nov, 2013.

 

Tanpa mematuhi dan segera mengambil tindakan bersama untuk memenuhi arahan ROS itu, tiada sebarang interaksi antara pemimpin parti Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam, dan jelas sekali menunjukkan bahawa kedua-dua pihak itu tidak boleh bertentang mata untuk menyelesaikan hal ehwal parti.

 

Pada awal Januari, dalam apa yang dilihat sebagai langkah untuk menghapuskan barisan kepimpinan parti yang menyokong Subramaniam, Palanivel mengumumkan bahawa Datuk G. Kumar Aaman akan menggantikan A. Prakash Rao sebagai setiausaha agung parti.

 

Beliau turut melantik Ramalingam Krishnamoorthy sebagai pengarah strategik yang baharu, menggantikan Datuk Seri Vell Paari.

 

Walau bagaimanapun, pada 29 Jan, Palanivel mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa beliau dan timbalannya akan “berdiam diri” dan mengadakan moratorium bagi “memberikan kami tempoh bukan krisis untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul”.

 

Bekas pemimpin Wanita MIC dan aktivis sosial Tan Sri Dewaki Krishnan berkata wujud keperluan segera untuk menyelamatkan parti itu.

 

Sambil menawarkan perkhidmatan beliau kepada pemimpin MIC untuk membantu menyatukan mereka dan menyelesaikan perbezaan pendapat yang berlaku, beliau berkata sebagai permulaan, Palanivel perlu mula mendengar pendapat daripada orang lain.

 

“Kami menghormati Palanivel sebagai pemimpin tetapi apabila beliau tidak berkomunikasi dengan timbalannya dan naib presiden, dan saya percaya bahawa ketiadaan komunikasi ini adalah punca kepada semua keadaan yang menyebabkan parti ini kucar-kacir sekarang,” katanya kepada Bernama.

 

Dewaki berkata beliau telah berkhidmat dengan MIC selama lebih 60 tahun dan telah melihat banyak pemilihan parti diadakan, “tetapi tidak sekali pun parti berhadapan krisis sebegini buruk”.

 

Bekas Setiausaha Agung MIC Tan Sri G. Vadiveloo percaya bahawa hanya kepimpinan BN sahaja yang boleh membantu menyelesaikan krisis yang membarah dalam parti.

 

“Hanya selepas pemimpin BN campur tangan dan membantu menyelesaikan krisis parti itu baharulah pemilihan semula parti sebagaimana yang diarahkan oleh ROS dilakukan,” katanya.

 

Vadiveloo mendakwa masalah yang timbul di dalam parti berlaku selepas orang tertentu yang “tidak layak” dipilih ke dalam CWC pada tahun 2013, sehingga menyebabkan pemilihan parti berkenaan diisytiharkan tidak sah oleh ROS.

 

Beliau turut mengecam Kumar Aaman yang tidak membenarkan pemimpin parti tertentu dan anggota parti daripada memasuki ibu pejabat parti itu, dan menegaskan bahawa tidak pernah menjadi dasar parti itu untuk menghalang mana-mana anggota parti daripada memasuki pejabat parti.

 

(Pada 28 Jan, Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan, Ketua Wanita M. Mohana dan pemimpin lain telah dihalang oleh kira-kira 20 “pengawal keselamatan” daripada memasuki ibu pejabat parti itu. Saravanan mendakwa pengawal berkenaan telah diupah oleh Kumar Aaman.)

 

Sementara itu, Vijandran menggesa MIC untuk mematuhi perintah ROS dengan mengadakan pemilihan baharu, dan setelah itu melangkah mara ke hadapan.

 

“Parti tidak boleh menentang perintah daripada sebuah jabatan kerajaan. Patuhi perintah itu dan melangkahlah ke hadapan. Satu tindakan yang begitu mudah.”

 

Beliau menegaskan pemimpin-pemimpin parti perlu memberi keutamaan setimpal kepada perlembagaan parti dan juga undang-undang yang berkaitan untuk mengelakkan daripada sebarang pertikaian. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.