Artis Nikah Sorok-Sorok : Azri Dan Salma Sah Bergelar Suami Isteri

Petaling Jaya – Tanpa dicanang atau dibayangi sebarang pembayang, pasangan yang pernah mengakui bahawa kemesraan mereka selama ini hanyalah kawan biasa ini, Azri (AF9) dan juara Mentor musim kelima, Salma Andi Asis rupa-rupanya sudah selamat bergelar suami isteri sejak 31 Januari lalu.

 

 

Bercakap kepada Kosmo! Azri nama sebenarnya Azri Abdullah, 28, menjelaskan dia tidak bermaksud untuk menyembunyikan khabar gembira pernikahannya bersama bekas anak didik Erra Fazira itu. Segalanya berlaku serba pantas dan persiapan perkahwinan mereka dilakukan dalam tempoh sebulan selepas lamaran dibuat pada awal Januari lalu.

 

 

“Kami tidak lari atau cuba menyembunyikan pernikahan kami kerana majlis yang dirancang pun berlaku dengan cepat. Kami hanya mempunyai tempoh sebulan sahaja untuk membuat persiapan. Mulanya, Salma memberitahu, dia mahu pulang ke Tawau untuk menjenguk keluarga, jadi saya bertegas mahu mengikutnya pulang ke sana.

 

 

“Daripada situlah, tidak semena-mena hati saya tergerak untuk mengajaknya berkahwin. Tidak salah sekiranya kepulangan Salma ke sana disusuli dengan majlis pernikahan. Jadi, kami menyuarakan hasrat itu kepada keluarga masing-masing dan Alhamdulillah hubungan dan perancangan kami direstui, sekali gus berjalan lancar,” ujar Azri kepada Kosmo!.

 

 

Tambahnya, pilihan berkahwin dalam tempoh yang sangat singkat bukan bertujuan untuk menutup sebarang khilaf. Sebaliknya tegas Azri, perkenalan secara serius selama setahun telah membuatkan hatinya tergerak untuk memperisterikan Salma. Niat itu secara tidak langsung disambut baik oleh Salma sendiri.

 

 

“Kami sudah berkenalan selama tiga tahun dan mulai serius sejak setahun lalu. Dalam perjalanan selama setahun itu, Salma ialah individu yang paling rapat dan memahami diri saya. Tidak salah lagi dia ialah calon yang paling tepat untuk dijadikan isteri,” kata Azri yang popular dengan lagu Niskala.

 

 

Pasangan ini selamat dinikahkan di Masjid Al Kautsar, Tawau, Sabah berwalikan bapa Salma sendiri, Andi-Asis Cakka hanya dengan sekali lafaz. Salma menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran RM10,000.

 

 

Pengantin lelaki menghantar tujuh dulang hantaran termasuk sebentuk cincin, senaskhah Al-Quran, telekung, kasut dan wangian dan dibalas dengan sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan antaranya sebentuk cincin, wangian dan baju kemeja. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.