Apa Motif Pui Tiong Lam Lapor Ustaz Kazim Pada Polis?

IPOH – “Apa tujuan sebenar dia buat laporan polis? Itu reaksi Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berhubung laporan polis dibuat Pui Tiong Lam terhadap penceramah terkenal, Datuk Mohamad Kazim Elias.

 

Irwan Fahmi berkata, tindakan Tiong Lam membuat laporan polis berhubung satu klip video ceramah yang didakwa menghina masyarakat bukan Islam di negara ini menggambarkan seolah-olah ceramah agama disampaikan Ustaz Kazim dipenuhi cemuhan dan penghinaan terhadap kaum lain.

 

“Kita nak tanya dia (Tiong Lam), apa tujuan sebenar dia buat laporan polis? Apakah untuk memecah-belah umat Islam atau nak tunjukkan penceramah (Islam).

 

“Ini tindakan tak wajar, kita tak tahu apa tujuan dia (Tiong Lam) buat laporan polis itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan berhubung isu itu di Balai Polis Manjoi semalam.

 

Irwan Fahmi (tengah) bersama ahli Wira Perkasa dan Maap membuat laporan terhadap Tiong Lam di Balai Polis Manjoi semalam.

Irwan Fahmi (tengah) bersama ahli Wira Perkasa dan Maap membuat laporan terhadap Tiong Lam di Balai Polis Manjoi semalam.

 

Beliau berkata, jelas terkandung dalam Perlembagaan Negara Fasal 11 yang menyatakan setiap warganegara bebas menganut agama masing-masing tetapi tertakluk kepada Fasal 4.

 

Sementara itu, Exco Wira Perkasa, Mohd Hafez Mubin berkata, tindakan Tiong Lam itu jelas mempunyai agenda jahat dan mahu merendah-rendahkan martabat umat Islam serta golongan ulama.

 

Katanya, justeru, Tiong Lam dan sekutunya yang lain diingatkan supaya tidak terus memprovokasi umat Islam di negara ini menerusi apa juga kelakuan dan perbuatan.

 

“Agama rasmi kita adalah agama Islam. Oleh itu, kita mohon Tiong Lam dan rakan-rakan sekutunya jangan terus provokasi umat Islam. Jangan cabar kami,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Penerangan Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak (Maap), Datuk Halim Ramli berkata, satu lagi himpunan melibatkan lebih 30 NGO bakal dianjurkan lagi hari ini untuk menyatakan sokongan berterusan terhadap Ustaz Kazim dalam isu berkenaan.

 

Menurutnya, semua barisan Ayahanda dari sekitar negeri akan terus memberikan sokongan penuh kepada penceramah itu berikutan kenyataan Tiong Lam yang jelas bercanggah dengan perkara sebenar.

 

“Kenapa video ini baru sekarang dieksploitasi, sedangkan ia berlaku enam tahun lalu? Lagi satu, kenapa hanya slot yang menyentuh mengenai isu perkauman diviralkan.

 

“Sedangkan kandungan keseluruhan video adalah berhubung peranan pasukan keselamatan seperti tentera, polis dan bomba, tetapi Tiong Lam telah putar belitkan cerita sebenar,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.