Anggota Tentera Ditemui Mati Lemas

Johor Baharu – Anggota tentera yang dilaporkan hilang, selepas bot yang dinaiki bersama seorang lagi rakannya terbalik di Sungai Endau, di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing, dua hari lalu, ditemui mati lemas hari ini.

 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Mohd Alias Husin berkata, mayat Hamdan Hassan, 41, anggota tentera dari Kem Mahkota, Kluang itu ditemui kira-kira jam 9.45 pagi.

 

“Operasi mencari dan menyelamat Hamdan yang dihentikan jam 7 malam tadi, disambung semula 9 pagi ini. Mayatnya ditemui terapung oleh orang awam, pada jarak lima kilometer dari lokasi kejadian, pada jam 9.15 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Difahamkan, kejadian bot terbalik itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi dan Hamdan hilang, ketika cuba berenang ke tebing sungai.

 

Rakannya, Zainuddin Ibrahim, 41, berjaya diselamatkan penduduk setempat, selepas terlihat dia berpaut pada bahagian bot hanyut. Mereka dikatakan ke sungai berkenaan untuk memancing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.