Rupanya Guan Eng Betul Bahawa Saya Telah ‘Fitnah’, Sindir Najib

SHAH ALAM – Pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai penurunan harga minyak, mengundang reaksi sinis mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Harga RON95 turun 27 sen satu liter.Tetapi harga baru RM1.93 untuk RON95 termasuk tambahan margin keuntungan kepada pengusaha stesen minyak sebanyak 2.81 sen satu liter.

“Ini bermaksud cukai tersembunyi yang kerajaan PH senyap senyap tibai sebenarnya ialah 29.81 sen (27 sen + 2.81 sen) satu liter – tidak jauh dari 30 sen satu liter yang saya pernah bongkar.

“Di dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dua minggu yang lepas, Guan Eng menuduh saya telah ‘fitnah’ bahawa kerajaan PH mengenakan cukai petrol sebanyak 30 sen setiap liter.

“Rupanya Guan Eng betul bahawa saya telah ‘fitnah’. Syukur, air muka Guan Eng tetap dijaga kerana perbezaan 0.19 sen ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Terdahulu Guan Eng hari ini mengumumkan bahawa harga bagi RON95, RON97 dan diesel akan diturunkan berkuatkuasa tengah malam ini.

Bagi RON95, harganya akan diturunkan sebanyak 27 sen daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter, manakala harga runcit petrol RON97 pula akan diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter.

Sementara itu harga runcit diesel pula diturunkan sebanyak 14 sen, daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.

Najib sebelum ini mengkritik tindakan kerajaan PH yang mengenakan cukai petrol kepada rakyat susulan masih mengekalkan harga RON95 pada kadar RM2.20 sungguhpun harga minyak global mencatatkan trend penurunan. 

Dalam pada itu Najib berkata, pengumuman harga minyak hari ini juga mengesahkan bahawa kerajaan PH telah menaikkan margin keuntungan untuk pengusaha stesen petrol sebanyak 23% untuk RON95 dari 12.19 sen kepada 15 sen satu liter, dan margin keuntungan untuk diesel dinaikkan 43% dari 7 sen kepada 10 sen satu liter.

“Untung juga jika anda pengusaha stesen minyak.

“Penjualan RON95 di Malaysia ialah sebanyak 1.1 bilion liter setiap bulan.

“Ini bermaksud pengusaha stesen minyak boleh mengaut keuntungan tambahan sebanyak RM30 juta setiap bulan ataupun RM360 juta setiap tahun dengan kenaikan hari ini. Belum lagi mengambil kira keuntungan tambahan untuk diesel.

“Apapun, sekurang-kurangnya rakyat Malaysia dapat menikmati harga petrol yang lebih rendah pada ketika ini walaupun telah terlambat untuk musim cuti sekolah bulan lepas,” katanya sinis. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.