Raja-Raja Melayu Adakan Mesyuarat Berikutan Khabar Angin Berkaitan Agong

PETALING JAYA – Raja-raja Melayu mengadakan mesyuarat tidak rasmi secara mengejut pada Rabu malam, susulan khabar angin yang tersebar di media sosial membabitkan Yang di-Pertuan Agong sekarang, lapor New Straits Times (NST) hari ini.

Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata, mesyuarat itu membincangkan “perkara serius”, tetapi enggan mengesahkan sama ada Agong turut menghadiri mesyuarat itu.

“Mesyuarat sedemikian biasanya diadakan satu atau 2 kali satu penggal, dan biasanya untuk membincangkan sesuatu yang penting. Tiada mesyuarat sedemikian tahun lalu,” kata seorang daripada sumber itu kepada NST.

Ia selepas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan kerajaan negeri menerima maklumat berhubung khabar angin Sultan Muhammad V akan melepaskan jawatan itu tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri tak ada maklumat. Kalau itu khabar angin, kita janganlah percaya,” katanya dipetik Malaysiakini.

Sultan Muhammad V yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017, dilaporkan mengambil cuti selama 2 bulan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, menjalankan tugas sebagai Agong sepanjang ketiadaan Sultan Muhammad V, sebelum menamatkan tugas itu pada 31 Disember lalu. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.