Pengusaha Jamin Tak Sorok Minyak

KUALA LUMPUR – 3,700 pengusaha stesen minyak akur terhadap pengumuman kerajaan yang menurunkan harga minyak bermula Sabtu. 

Kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman selepas menerima notis arahan 27 Disember yang lalu kesemua pengusaha memberi jaminan akan memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi.

“Setakat ini, tiada sebarang aduan yang diterima berkenaan stesen minyak kehabisan bahan bakar atau sengaja tidak menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud usaha menyorok minyak atau menghentikan perniagaan lebih awal berbanding waktu operasi biasa susulan kenyataan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda) sebelum ini bahawa tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari.

Jelas Iskandar  notis itu turut mengingatkan pengusaha tentang kewajipan mematuhi syarat pemilikan lesen kerana sebarang tindakan yang bertentangan boleh menyebabkan mereka diambil tindakan atau lesen perniagaan dibatalkan.

Tambahnya  2,300 anggota dan pegawai KPDNHEP diarahkan turun bertemu pengusaha stesen minyak di seluruh negara dan mendapati mereka akur kepada notis jualan harian yang dikeluarkan kementerian.

“Pengusaha stesen minyak akur jika sengaja mengeringkan tangki atau tidak membuka perniagaan, bukan sahaja mereka akan didakwa malah syarikat pembekal petrol dan diesel ke stesen itu juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.