Pemberhentian Imam Adalah Kerana Faktor Usia, Kata Mufti Perlis

SHAH ALAM – Merungkai tanda tanya di sebalik isu hangat ‘pemecatan’ imam di Perlis, Muftinya, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan tindakan pemberhentian imam-imam itu bertujuan meremajakan masjid di seluruh negeri itu.

Mohd Asri yang membuat penjelasan itu dalam siri ceramah mingguannya di Masjid Alwi, Kangar, malam tadi berkata, ia selaras dengan enakmen yang memperuntukkan had umur imam adalah sehingga 60 tahun. 

“Dalam enakmen tidak seorang pun pegawai masjid yang dilantik atau disifatkan dilantik di bawah seksyen 100 (5) boleh terus memegang jawatan itu selepas mencapai umur 60 tahun.

“Saya ada tanya balik punca-puncanya dan dimaklumkan bahawa imam-imam ini sudah berusia 61 hingga 88 tahun. Pada asasnya apabila mencapai umur 60 tahun boleh ditamatkan namun ada juga boleh dilanjutkan atas pertimbangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs),” katanya.

Malah ujarnya, terdapat imam yang berusia lewat 90-an, tetapi enggan melepaskan jawatan mereka supaya orang lebih muda dapat menggantikan mereka.

“Menamatkan imam yang telah mencapai satu-satu tahap umur tidaklah pelik. Banyak elemen yang diambil kira, dan dalam usaha menjadikan Perlis maju, kita mahu imam yang muda sedikit, yang cergas. Bukannya buang, kita ganti imam,” katanya.

Mohd Asri berkata, ramai anak muda yang tamat pengajian tahfiz dan layak menjadi imam harus diberi peluang mengisi tempat imam yang diberhentikan itu.

Beliau menafikan imam terbabit diberhentikan kerana mereka tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh seperti didakwa pihak tertentu.

“Apa isu baca Qunut atau tidak.. di Perlis kita memang sudah tahu, tapi tok imam tak diberhentikan pun sejak berapa lama dulu,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut ujarnya, selain faktor usia, tindakan itu diambil kerana ada di antara mereka tidak mampu membaca ayat-ayat al-Quran dalam solat dengan sempurna dan kemudian dikaitkan disiplin menjalankan tugas.

Katanya, ada juga imam tidak mematuhi kehendak tugas, termasuk tidak menghadiri kursus, tidak membaca khutbah Jumaat yang disediakan dan membawa penceramah luar dan menyentuh politik dalam ceramah mereka di masjid.

“Semua ini direkod pegawai jabatan. Kita tidak ambil tindakan sesuka hati,” katanya sambil meminta imam terbabit menerima hakikat mereka tidak semestinya bertugas hingga akhir hayat.

Semalam sebuah portal dalam talian melaporkan 25 imam dipecat dan lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan, melalui surat yang berkuat kuasa Selasa lalu.

Memetik sumber, portal itu melaporkan, pemecatan 25 imam dan pertukaran lebih 10 imam ke kariah lain dilakukan pihak berkuasa agama negeri yang menganggap mereka tidak sehaluan serta tidak mematuhi amalan dan cara yang diamalkan Perlis. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.