Kurang Undi Penonton Punca Tersingkir MLM 2018 – Joras

SHAH ALAM — Tersingkir di minggu kesembilan Maharaja Lawak Mega (MLM), kumpulan Joras menyalahkan undi peminat.

Joras berpandangan pertandingan itu akan lebih adil sekiranya ia dinilai sepenuhnya juri profesional setiap minggu.

“Undi penonton itu sedikit mengganggu dan jika saya boleh membuat cadangan, biarlah 100 peratus penilaian datang daripada juri.

“Ini kerana mereka akan menilai dari segi kandungan lawak berkenaan.

“Kami tidak pernah berada di kedudukan tiga terendah tetapi bila sekali diumumkan terus terkeluar, itu membuatkan kami kecewa,” kata Rahim kepada ProjekMM.

Joras mendapat markah terendah 56.9 peratus beza 0.73 peratus daripada kumpulan Taman yang mendapat kedudukan keenam.

Juri secara keseluruhan memberikan Joras 54.5 peratus daripada 70 peratus manakala 2.4 peratus sahaja undian peminat daripada 30 peratus.

Penonton mengundi menerusi aplikasi TikTok bagi memastikan peserta pilihan mereka mara ke pentas akhir.

Empat juri MLM adalah Tya Arifin, Remy Ishak, Scha Alyahya dan diketuai Douglas Lim.

Minggu kesepuluh MLM akan disiarkan secara langsung di Astro Warna 9 malam ini dari Royal Theatre di sini.

Diacarakan Datuk AC Mizal, enam kumpulan yang kekal adalah Shiro, Bocey, Zero, Puteh, Masin dan Taman.

Bersetuju dengan pandangan Rahim, Joey berkata Joras tidak memiliki peminat sejak minggu pertama pertandingan.

“Apa yang jelas Joras tiada peminat sejak minggu pertama tetapi kami tampil dari segi kandungan.

“Kami kalau beri persembahan terbaik pun tetap orang kecam,” katanya dengan nada kesal.

Ropie berkata MLM pada musim depan mungkin tidak disertainya memandangkan peningkatan usia.

“Tahun ini umur saya sudah 51, untuk menyertai MLM lagi bersama kumpulan lain, tidak bagi saya.

“Kami sudah pun buat yang terbaik dan tiada siapa mahu gagal. Saya tidak terfikir sampai tersingkir, tiga terendah itu mungkin,” katanya.

Ditanya sama ada penampilan Ropie membuatkan Joras tidak mara ke pentas akhir, Rahim menafikan dakwaan itu.

“Walau kami baru digandingkan tetapi kami di luar selalu bekerjasama dan berjumpa. Kami ambil Ropie pun kerana kami memang akrab dan senang kerja bersama.

“Kami dapat rasa kurang sambutan daripada penonton sehingga membuatkan kami tersingkir.

“Apa pun yang berlaku, kami bersedia untuk ini kerana kami tahu bebanan MLM,” katanya. – MalayMail

One thought on “Kurang Undi Penonton Punca Tersingkir MLM 2018 – Joras

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.