Jeritan Minta Tolong Di Gunung Peninjau

Oleh: Zulkifli Mat Rawi

Gunung Peninjau yang terletak di dalam Hutan Simpan Keledang Saiong bukanlah tempat asing bagi masyarakat kampung di Ulu Chepor, Chemor Perak.

Malah gunung yang merupakan puncak tertinggi di Banjaran Keledang ini turut dikenali dengan panggilan Gunung Kecil oleh penduduk tempatan suatu ketika dahulu.

Gunung yang mempunyai ketinggian 1,059 meter ini mempunyai hutan Dipterokarp Bukit dan merupakan misi seterusnya oleh Team Busut.

Dua minggu sebelum memulakan misi pendakian, kami telah menghubungi pejabat hutan daerah Kinta Manjung bagi mendapatkan permit.

Setelah menyediakan segala dokumen yang diperlukan, permohonan kami akhirnya diluluskan.

Mencuba keenakkan ‘Nasi Ganja’

Untuk mengelakkan rasa penat disebabkan perjalanan yang agak jauh, saya dan empat rakan lain memilih untuk bertolak awal.

Tambahan pula laporan trafik mengatakan mungkin akan berlaku kesesakkan di lebuhraya Kuala Lumpur – Ipoh ekoran cuti hujung minggu.

Sebaik menyiapkan segala kelengkapan yang diperlukan saya, Zainal Abidin Sahak dan isterinya Hazlida Mazrin Badaruddin segera bertolak ke Ipoh.

Manakala Farazurin Ahmad Kamil dan Syahariatie Shaari mengekori kenderaan kami dari belakang.

Sebaik tiba di Ipoh, kami segera menuju ke Jalan Yang Kalsom untuk mencuba keenakkan Nasi Kandar Ayam Merah atau lebih dikenali sebagai ‘nasi ganja’.

Selain sedap dan murah, ‘nasi ganja’ ini dikatakan unik kerana masih mampu mengekalkan rasa yang sama sejak memulakan perniagaan pada 1957.

Menjamu selera di kedai nasi ganja

Pada asalnya, kedai makan itu dikenali oleh penduduk setempat sebagai ‘nasi vanggey’.

Ia mendapat nama apabila pelayan restoran memanggil pelanggan yang datang ke restoran itu dalam bahasa Tamil, iaitu ‘vanggey’ yang bermaksud ‘mari-mari’.

Nama ‘nasi ganja’ mula popular apabila pelanggan dikatakan rasa mengantuk selepas makan malah ada yang mengatakan ketagih untuk makan nasi kandar di restoran itu.

Bagaimanapun menurut pemilik kedai itu, mereka tidak pernah mengunakan bahan terlarang untuk menyediakan juadah tersebut.

Sebaliknya, mereka hanya mengunakan resepi rahsia yang diwarisi daripada keluarga juga teknik masakan selain rempah ratus yang digunakan, bagi memastikan keenakkan juadah tersebut.

Di sebabkan itu juga popularitinya menjangkau sehingga ke luar negara sehinggakan pelancong luar yang datang ke Perak pasti akan mencari nasi ganja ini.

Asal nama Chepor

Selesai menjamu selera, kami bertiga segera menuju ke Lata Ulu Chepor yang terletak di kampung Ulu Chepor untuk berehat.

Manakala Syahariatie memilih untuk berehat di rumah keluarga Farazurin yang terletak di Taman Rapat Setia Baru.

Ulu Chepor merupakan sebuah kampung tradisional yang terletak 15 km ke utara Bandaraya Ipoh dan 5 km ke selatan Pekan Chemor melalui Jelapang.

Menurut sejarah lisan, kawasan ini dikatakan diteroka pada tahun 1902 oleh Allahyarham Tok Paduka Raja Habib Ali bin Habib Husei.

Pembukaan sepenuhnya sebagai sebuah kampung adalah pada sekitat tahun 1907.

Kawasan ini terdiri daripada peneroka yang datang dari kampung Chepor, sekitar daerah Perak Tengah serta daerah Kuala Kangsar.

Nama Ulu Chepor juga dikatakan diambil sempena kedudukannya yang terletak di bahagian Ulu Sungai Chepor.

Terdapat beberapa cerita yang menceritakan asal usul nama kampung ini.

Ada menyatakan nama Chepor diambil sempena nama sepohon pokok chepor yang tumbuh sekitar sungai Chepor.

Ada juga menyatakan nama Chepor berasal daripada perkataan Cina iaitu CIPOH yang bermaksud cembul atau mangkok untuk meyimpan permata.

Selebihnya mendakwa nama Chepor itu berasal dari bunyi air yang dicepok.

Lata Chepor

Di sungai Chepor terdapat air terjun dan di bawah air terjun ini terdapat sekeping batu datar yang juga dipanggil Lata.

Apabila air terjun tadi jatuh ke lata ini, ia akan menghasilkan bunyi ‘por’ dan sempena dengan bunyi inilah nama Chepor dikatakan diperolehi.

Andaian-andainan tersebut boleh diterima kerana tumbuhan yang disebutkan tumbuh melata di kawasan ini.

Manakala pada masa dahulu kawasan ini pernah menjadi rebutan para pelombong bijih timah yang berbangsa Cina dan kawasan tersebut sememangnya mempunyai lata air terjun.

Sebaik tiba di pintu masuk Lata Ulu Chepor, kami telah di halang oleh pengawal bertugas yang menjaga kawasan tersebut.

Setelah menunjukkan permit kelulusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hutan dan menyerahkan salinan senarai nama pendaki, kami akhirnya di benarkan masuk.

Berdoa sebelum memulakan pendakian

Lubuk spa dan jakuzi

Sebaik tiba di kawasan perkelahan itu. mata kami seakan terpaku melihat air sungai yang jernih dan bersih.

Kejernihan air yang mengalir melalui celahan bongkah batu besar seakan menjentik hati kami untuk berendam.

Ternyata kesejukan airnya benar-benar menyegarkan untuk menyelam dan mandi manda.

Malah kami turut dimaklumkan kawasan tersebut sering menjadi pilihan untuk mengadakan sesi penggambaran.

Di sini juga terdapat kawasan air terjun seakan-akan spa dan jakuzi yang dipanggil “Lubuk Spa”.

Namun, untuk sampai ke kawasan mandian “Lubuk Spa” itu, kami perlu berjalan kaki meredah hutan kira-kira 30 minit dari kawasan pintu masuk taman rekreasi.

Memandangkan tiada pengunjung lain melainkan kami bertiga di kawasan tersebut dan hari sudah hampir Maghrib.

Kami mengambil keputusan untuk menyewa di salah sebuah chalet di kawasan perkelahan itu sambil menanti ketibaan teman-teman yang lain.

Berehat sambil menunggu ketibaan semua peserta

Mula mendaki

Sejurus selepas Subuh, seorang demi seorang mula datang. Masing-masing kelihatan begitu bersemangat untuk memulakan pendakian pada pagi itu.

Cikgu Alias Mat selaku ahli senior Team Busut kemudiannya meminta semua peserta melakukan sedikit senaman ringkas.

Ia bertujuan untuk mengelakkan sebarang kecederaan ketika pendakian.

Tepat jam 7.00 pagi dan sesudah bacaan doa, kami seramai 20 orang mula berjalan menuju ke pintu rimba.

Memandangkan misi pada hari itu tidak mengunakan khidmat juru pandu dan tidak ada seorang pun di kalangan kami yang pernah mendaki di sini.

Peserta lelaki di pecahkan di antara barisan bagi menjaga keselamatan dan membantu mereka yang lain.

Razlan Raduan dan Muhamad Ridwannullah Ab Rahman bertindak sebagai penunjuk arah.

Penulis dan Juhaini Abdul Rahman pula di barisan tengah.

Manakala Abd Rahman Norholis dan Cikgu Alias di bahagian paling belakang bagi memastikan tiada peserta yang tertinggal.

Di awal pendakian, kami menempuh denai hutan di tepi sungai yang agak senang kerana tidak bercerun.

Deruan air terjun yang deras di kawasan jeram sepanjang laluan seolah mengiringi perjalanan kami.

Jeritan meminta tolong

Tidak lama selepas itu, kami mula melalui trek bercerun di kawasan permatang.

Walaupun tidak begitu sukar, namun ia tetap mencabar kerana terpaksa merentas laluan balak yang agak jauh dan lama.

Paling menarik terdapat sebuah laluan gua kecil yang terbentuk secara semula jadi oleh gabungan dua bongkah batuan sungai yang agak besar.

Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar sebagai tanda kenangan.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan jeritan Haslina Tamrin meminta tolong yang memecah hening pagi.

Masing-masing kelihatan panik, kerana menyangkakan ada di kalangan kami yang tercedera.

Rupa-rupanya dia mempunyai alahan atau ‘sindrom geli’ terhadap spesies haiwan lembik, pacat.

Selepas melihat kehadiran pacat itu, dia yang pada awalnya berada di bahagian tengah terus menyusup laju ke hadapan.

Selepas kira-kira dua jam mendaki, kami berhenti di sebuah kawasan lapang. Selain berehat ia untuk memastikan semua peserta telah sampai sebelum meneruskan pendakian.

Di sepanjang laluan kami melihat terdapat banyak flora yang mempunyai nilai perubatan.

Walaupun tidak setinggi puncak gunung yang lain, namun cabaran menjejaki puncak Gunung Peninjau tidak kurang hebatnya.

Semakin tinggi paras didaki, semakin tegak laluan yang ditempuh. Di beberapa tempat, pelbagai aksi terpaksa di lakukan untuk melonjakkan badan ke atas.

Pandangan dari atas Puncak Peninjau

 

Puncak Peninjau

Tiba di puncak

Namun bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’. Setelah hampir empat jam mendaki akhir puncak Peninjau berjaya kami tawan.

Ternyata panorama indah alam semula jadi yang cukup mempesona membuatkan kami sukar menggambarkannya dengan kata-kata.

Mungkin inilah nikmat yang tidak terhingga dikecapi oleh setiap pendaki.

Paling mengembirakan di puncak gunung ini, terdapat struktur ‘ketupat besi’ yang masih utuh berdiri.

Tidak berapa jauh dari puncak ini pulanterdapat kawasan untuk melihat pemandangan sekeliling.

Kami dapat melihat pemandangan pekan Chemor, bandar raya Ipoh dan turut kelihatan Gunung Korbu yang merupakan gunung kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 2,183 meter dari paras laut.

Selepas puas bergambar, masing-masing mula terasa lapar. Ada yang menjerang air, ada yang mengoreng cekodok dan mee segera.

Tidak kurang juga ada yang membawa bekal nasi lemak dan sebagainya.

Menyediakan juadah untuk makan tengahari

Memandangkan tiada pendaki lain, kami mengambil masa sekitar dua jam untuk berehat di puncak. Sungguh mendamaikan.

Seperti biasa sebelum pulang, kami akan memastikan semua sampah yang dibawa dikumpulkan dan di bawa turun.

Ketika dalam perjalanan turun, penulis terserempak dengan beberapa orang penduduk tempatan yang sedang mencari hasil hutan.

Menurut mereka terdapat sebuah gua yang belum pernah diteroka secara komersial lagi di gunung ini.

Walaupun terdetik untuk menerokai kawasan tersebut, namun di sebabkan kesuntukan masa hasrat itu terpaksa dibatalkan.

Semua peserta berjaya turun dengan selamat sekitar jam 5.00 petang.

Selesai mandi dan membersihkan badan kami mula bergerak pulang ke rumah masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.