Isu Pecat Imam: Zamihan Perli Mufti Perlis?

SHAH ALAM – Di tengah-tengah kehangatan isu pemberhentian 25 imam di Perlis, penceramah kontroversi, Zamihan Mat Zain tampil memuat naik status berbaur sindiran di Facebook beliau. 

“Ada orang tu dok laung-laungkan keluasan fiqh, keterbukaan pandangan, berlapang dada… tapi dia pecat imam-imam yang tak sehaluan dengan pandangan wahabinya atas alasan ‘masalah disiplin’. Imam-imam dia pecat, tapi kontrak dia sebagai mufti dia minta dilanjutkan.

“Imam-imam dan tok guru yang tua ni kebanyakannya orang alim yang menolak fahaman wahabi. Sebab itu dia pecat dan larang ceramah. 

“Namun, rakyat negeri itu ramai yang masih ahli sunnah wal jamaah. Mungkin ini azam tahun barunya iaitu memecat Imam,” tulis penceramah itu.

Zamihan tidak menyebut secara spesifik mengenai individu yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, ia dipercayai merujuk kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Zamihan mengaitkan pemecatan imam-imam berkenaan adalah disebabkan perbezaan aliran agama dengan fahaman Wahabi yang didakwanya dipegang mufti itu.

Mohd Asri malam tadi menjelaskan tindakan pemberhentian imam-imam itu bertujuan meremajakan masjid di seluruh Perlis. 

Ujar Mohd Asri, ia selaras dengan enakmen yang memperuntukkan had umur imam adalah sehingga 60 tahun. 

Selain faktor usia, jelas Mohd Asri, tindakan itu diambil kerana ada di antara mereka tidak mampu membaca ayat-ayat al-Quran dalam solat dengan sempurna dan kemudian dikaitkan disiplin menjalankan tugas.

Katanya, ada juga imam tidak mematuhi kehendak tugas, termasuk tidak menghadiri kursus, tidak membaca khutbah Jumaat yang disediakan dan membawa penceramah luar dan menyentuh politik dalam ceramah mereka di masjid.

Sementara itu dalam hantaran yang berasingan, Zamihan memuat naik pula tangkap layar (screenshot) komen seorang pengikutnya yang meluahkan isu sama pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Dalam satu lagi hantaran berasingan, pengendali akaun Zamihan kemudian memuat naik satu undian meminta pandangan orang ramai sama ada mereka bersetuju fahaman Wahabi diamalkan di Perlis ataupun tidak.

Zamihan sebelum ini mengaitkan Mohd Asri dengan aliran Wahabi, bagaimanapun ia dinafikan oleh mufti itu.

Kedua-duanya saling serang menyerang dan kias berkias dalam ceramah masing-masing. 

Mereka juga hampir sepentas dalam debat bertajuk “Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Perbincangan” pada 2016 lalu namun ia dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.