Harga Minyak Turun Mulai Tengah Malam Ini

SHAH ALAM – Harga bagi RON95, RON97 dan diesel akan diturunkan berkuatkuasa tengah malam ini.

Bagi RON95, harganya akan diturunkan sebanyak 27 sen daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter, manakala harga runcit petrol RON97 pula akan diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter.

Sementara itu harga runcit diesel pula m diturunkan sebanyak 14 sen, daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, harga bagi semua jenis bahan api itu berkuat kuasa mulai 5 Januari 2019 sehingga 11 Januari 2019.

“Penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam Sabtu, 5 Januari 2019.

“Seterusnya, harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya lagi, pengumuman harga runcit bahan api itu akan dibuat pada hari Jumaat setiap minggu, dan berkuat kuasa mulai hari Sabtu sehingga Jumaat seterusnya.

Dalam pada itu ujarnya, kerajaan juga akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

Dengan erti kata lain, apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan.

“Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi,” katanya.

Ujarnya, pengekalan harga pada paras ini adalah sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.