“Baginda Tak Faham Konsep Persekutuan”, Respon Tun M Selepas PH Dikritik TMJ

KUALA LUMPUR – Selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara terbuka mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH), hari ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan baginda sebagai ‘tidak memahami konsep Persekutuan’.

“Baginda tidak faham Persekutuan. Mungkin sebab baginda masih belum dilahirkan ketika itu tetapi saya sudah dilahirkan pada waktu itu.

“Persekutuan bermaksud ia mempunyai kuasa ke atas seluruh negara dan kita tidak boleh berkata ini dan itu tidak boleh dilakukan,” katanya ringkas.

Mahathir sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al Bukhary di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pengerusi PH itu berkata, sungguhpun terdapat pengasingan kuasa antara kerajaan negeri dan pusat, namun

“ia tidak menyatakan bahawa kerajaan Pusat tidak boleh memberi pandangan dan komen terhadap kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri,” katanya lagi.

Beberapa hari lalu, TMJ menerusi laman sosial Facebook baginda menegur kerajaan PH agar menghentikan perbalahan sesama sendiri dan mempolitikkan semua perkara. 

Menulis di Facebook, TMJ berkata baginda akan terus menyuarakan pendiriannya sungguhpun terpaksa menjadi musuh nombor satu orang ramai.

“Biarkan saya menjadi musuh anda No.1 sekiranya perlu. Saya konsisten dan tegas dengan prinsip saya. Tolong… Tolonglah mulai mentadbir. Tolong berhenti berperang antara satu sama lain, Tolong berhenti mempolitikkan setiap isu,”tulisnya.

Putera Sultan Johor itu juga berkata, semua orang melakukan kesilapan dan perlu mengakuinya, termasuklah dirinya sendiri.

Memasuki tahun baru, kata TMJ, adalah masa untuk kerajaan memperbetulkan situasi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.