Ada Gerakan Dalam PKR Cuba Halang Anwar Jadi PM – Otai Reformis

KUALA LUMPUR — Kumpulan Otai Reformis 1998 mendakwa terdapat kelompok tertentu dalam PKR yang cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri.

Pengerusinya berkata komplot itu berdasarkan kenyataan timbalan presiden Datuk Seri Azmin Ali dan setiausaha sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini.

“Kita boleh lihat daripada kenyataan [Azmin] di Facebook… atau bahkan oleh seorang menteri,” kata Dr Idris Ahmad, wakil rakyat PKR yang pernah dicalonkan menteri besar Selangor.

“Kenapa tiba-tiba ada komen [mengenai peralihan kuasa] di sana, sini, dan ia mencetuskan atau menunjukkan keraguan atas apa yang telah dipersetujui.”

Otai Reformis adalah himpunan beberapa aktivis awal Gerakan Reformasi 1998 yang mendukung kuat Anwar berdepan perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kelmarin, Saifuddin yang juga menteri luar menjelaskan majlis presiden PH tidak pernah membincangkan tempoh bagi jawatan perdana menteri yang kini disandang Dr Mahathir.

Manakala Azmin minggu lalu menggesa Anwar mengubah senarai lantikan jawatan tertinggi parti supaya lebih “adil” dan “profesional” bagi mencerminkan “semangat musyawarah”.

Namun Anwar bertegas enggan tunduk pada desakan Azmin sehingga dianggap PKR sedang dilanda pergolakan baru selepas kempen sengit pemilihan parti beberapa bulan lepas. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.