Pembangkang Jadi Bercelaru dan Rosak Kerana Mahathir, Kata Naib Presiden PAS

KOTA BHARU – Pas menyifatkan kecelaruan dalam kalangan pembangkang mulai timbul selepas bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Pakatan Harapan.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut berpandangan Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai pengacau dan mewujudkan suasana kucar-kacir dalam blok pembangkang.

Tindakan Dr Mahathir dilihat semakin melalut dengan niat tersembunyinya untuk merosakkan pembangkang.

“Dr Mahathir ini nampak semakin lama semakin melalut dalam (memberi) pandangan dan pendirian. Pada pandangan saya, kemunculannya untuk membuatkan pembangkang kucar-kacir.

“Dia tak membantu, bahkan banyak masalah yang berlaku hari ini selepas munculnya Dr Mahathir dalam PPBM. Semua kelam kabut. Dr Mahathir ini niat tersembunyi dia ialah merosakkan pembangkang,” ujar Mohd Amar.

Beliau yang ditemui pemberita selepas mesyuarat bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob siang tadi menjelaskan Mahathir juga mengambil peranan mufti dengan mengkafirkan orang lain.

Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PPBM itu yang melabelkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO.

Bekas perdana menteri itu mendakwa, Abdul Hadi hanya menggunakan Islam kerana pernah mendakwa kerajaan sebagai kafir dan wajar ditentang.

Mohd Amar turut mengulangi dakwaan bahawa Mahathir merupakan seorang yang anti-Pas dan Islam bahkan menafikan hak pembangunan untuk rakyat Kelantan selama beliau menjadi perdana menteri.

Katanya, pendirian Pas jelas iaitu musuh politik utama ialah UMNO dan tidak pernah menyokong UMNO.

Namun dengan kewujudan Pakatan Harapan sudah pasti menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang boleh memberi kelebihan kepada UMNO. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.