Mahathir Sudah Meminta Maaf, Apa Pula Selepas Ini? – Malaysia Today

Tulisan asal oleh:
Malaysia Today, 4 Januari 2018

Oleh Lim Sue Goan, Sin Chew Daily

Disebabkan tekanan dari pelbagai pihak, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya memohon maaf pada perhimpunan sulung PPBM baru-baru ini.

Tetapi, tidak semua yang gembira dengan permintaan maafnya. Ramai yang berfikir bahawa permintaan maaf itu tidak dibuat dengan tulus kerana beliau tidak menjelaskan sebab mengapa beliau memohon maaf.

Jika beliau berkata, “Saya tidak sepatutnya memulakan Ops Lalang. Saya berasa sangat menyesal terhadap tahanan dan keluarga mereka. Saya tidak sepatutnya menggantung tiga surat khabar dan memecat hakim,” kebanyakan orang mungkin akan menerima permintaan maafnya dan memaafkannya, walaupun beliau tidak meminta maaf untuk skandal lain.

Beliau kemudian menjelaskan dalam sidang akhbar bahawa beliau memohon maaf kerana beliau adalah seorang Melayu, dan meminta maaf adalah budaya Melayu.

Jadi, permintaan maaf itu hanyalah mengenai pemeliharaan budaya, bukan kerana pengakuan dosa seseorang, atau penyesalan.

Jikalau begitu, jika kita melihat perkara ini dari perspektif yang lain, permintaan maaf bukanlah sesuatu yang mudah untuk orang kuat politik. Ini juga mencerminkan pemahaman beliau tentang kesepakatan umum serta seni politiknya yang sudah lama.

Selain permohonan maaf, Mahathir juga bercakap panjang mengenai reformasi negara di perhimpunan itu. Beliau berkata jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang, ia akan memastikan undang-undang negara yang tidak betul akan diperbetulkan dan hak-hak rakyat dipulihkan.

Ironinya, semasa beliau menjadi perdana menterilah banyak undang-undang negara, termasuk peruntukan perlembagaan, telah disalah gunakan, sehingga menyebabkan kuasa eksekutif berada di luar kawalan.

Malah, Mahathir berkata kebebasan bersuara dan kebebasan media semuanya akan dipulihkan dan kerajaan Pakatan akan memulihkan kebebasan kehakiman.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyentuh bagaimana beliau menghalang kebebasan akhbar dan kebebasan kehakiman ketika eranya dulu.

Baguslah bahawa pada usia yang lanjut beliau akhirnya mengakui banyak kecacatan negara ini yang disebabkan olehnya sendiri. Masalahnya, bagaimanakah beliau akan mengembalikan mekanisme yang seimbang?

Dengan ketiadaan pemimpin Melayu yang berwibawa untuk mengetuai pakatan pembangkang, ketua de facto PKR Anwar Ibrahim terpaksa membiarkan Mahathir mengetuai, dan kemungkinan besar parti itu akhirnya akan bersetuju untuk membiarkan Mahathir menjadi PM sementara. Tidak kira apa syarat yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Sesungguhnya Mahathir lebih mengetahui politik berbanding mana-mana pemimpin Pakatan lain. Beliau mahu PKR menghentikan semua rundingan dengan PAS, dan ini menunjukkan bahawa beliau sememangnya lebih berazam daripada Anwar, Wan Azizah atau Azmin. Perang tarik tali dengan PAS hanya akan menyakiti pakatan itu.

Tanpa orang yang sesuai untuk dipilih, Pakatan terpaksa untuk membawa kembali lelaki tua yang lemah itu ke hadapan.

Sekiranya mereka yang tidak berpuas hati dengan Mahathir tidak dapat menerimanya kerana beliau gagal memohon maaf atas kesalahannya yang lalu, bagaimana mereka akan menerima beliau sebagai PM sementara? Para pengundi masih perlu menyesuaikan diri mereka secara psikologi dengan kepulangan Mahathir ke barisan hadapan.

Satu lagi persoalan ialah: adakah Mahathir mempunyai masa dan stamina untuk memenuhi janji pembaharuannya walaupun Pakatan memenangi pilihan raya umum yang akan datang? Ianya mustahil baginya untuk mencapai misi menyelamatkan negara ini seorang diri.

Dengan semakin banyak perkara yang tidak terkawal di negara ini sejak tahun-tahun kebelakangan ini, dengan ekstremisme agama dan populisme politik yang kini semakin berkuasa, bagaimana Mahathir akan memperbetulkan semula keadaan?

Pengurusan negara ini berada dalam keadaan tegang tetapi malangnya tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap semua penyelewengan yang berlaku. Membetulkan kelemahan pentadbiran dan pengurusan akan mengambil masa. Mahathir sememangnya tidak mempunyai banyak stamina lagi.

Di samping itu, menyembuhkan semula ekonomi yang sakit, membalikkan dasar perkauman, meningkatkan pendapatan rakyat dan daya saing negara secara keseluruhan, mereformasi pendidikan kita yang lemah dan menyelesaikan pelbagai masalah sosial dan keluarga yang lain semuanya memerlukan pelan dasar yang jelas.

PH setakat ini tidak mengemukakan sebarang agenda pembaharuan, dan ini membuatkan permohonan maaf dan aspirasi reformasi negara Mahathir tidak meyakinkan.

Jika Dr Mahathir berusaha untuk menyertai pembangkang untuk memperbetulkan kesilapannya sendiri dan bukan untuk kebaikannya sendiri, saya percaya beliau akan mendapat penghakiman yang adil berdasarkan sejarah masa lalunya.

Nilai-nilai dan makna kehidupan sebenar terletak pada berapa banyak kita menyumbang kepada masyarakat dan negara. Inilah yang saya ingin berkongsi dengan ahli politik kita hari ini.

Link asal artikel:
http://www.malaysia-today.net/now-that-mahathir-has-apologised-what-next/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.