‘Kau Ragut Hak Anak Yatim’

Tular gambar yang dikongsi oleh seorang cikgu bernama Mohd Fadli Salleh di laman Facebook yang menunjukkan aksi seorang murid lelaki makan dalam keadaan mencangkung dan bersandar pada tiang.

Katanya, gambar tersebut dikongsi oleh sahabatnya pada hari pertama permulaan sekolah, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar sekolah berkenaan.

Cikgu Mohd Fadli tampil memberi teguran keras kepada ibu bapa yang menunggu anak-anak di sekolah supaya ‘Jangan Mengambil Hak Murid’.

“Kerusi di kantin itu adalah hak murid, tempat murid duduk untuk makan.

“Bukannya tempat untuk ibu bapa duduk dan melayan anak-anak sendiri sehingga murid lain termangu-mangu tiada tempat hendak tuju,” tegas cikgu Mohd Fadli dalam catatan di entrinya pada Rabu.

Menurutnya, kes sedemikian bukan pertama kali berlaku sepanjang dia bergelar guru, dan kerana sikap kurang sensitif itu, dia tidak pernah ‘memberi muka’ kepada segelintir ibu bapa yang duduk di kerusi kantin pada waktu rehat.

“Dengan nada marah, dengan nada keras aku akan bersuara. Siapa sahaja yang ambil hak anak-anak aku, aku akan sound direct. Nak terasa? Silakan, memang aku harap sangat mereka terasa.

“Apa punya manusia tak fikirkan hak orang lain? Tak fikirkan murid lain yang datang tanpa ditemani ibu bapa?,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perkara tersebut, cikgu Mohd Fadli dipetik sebuah portal berkata, ibu bapa seharusnya lebih sensitif terhadap murid-murid lain.

“Kepada ibu bapa, bayangkan anak sendiri tak makan. Anak balik dari sekolah mengadu lapar sebab tempat duduk di kantin penuh kerana ada ibu bapa murid lain turut sama duduk.

“Pasti anda akan rasa marah dan sedih bukan? Itu yang anda rasa, macam mana pula murid lain yang terpaksa berlapar rasa. Jadi, kalau waktu sesak tu, tak payahlah duduk, temankan saja anak tu di tepi meja,” katanya.

Menerusi catatan tersebut juga, cikgu Mohd Fadli turut berkongsi pengalaman tujuh tahun lalu ketika beliau mengajar murid Tahun Satu, mengenai kisah seorang anak yatim yang kematian bapa.

Pada hari pertama sekolah, ibu budak itu pula berada di wad kerana menghidap kanser, dan tiada sesiapa yang menemaninya di sekolah, tidak seperti kebanyakkan murid-murid lain yang ada ibu bapa di sisi ketika waktu rehat.

Ekoran sikap segelintir ibu bapa yang pentingkan diri sendiri dan hanya memikirkan perut anak mereka sahaja, cikgu Mohd Fadli berkata murid itu terkebil-kebil bersendirian mencari tempat duduk di kantin, dan pada akhirnya dia hanya berdiri di tepi tiang menyaksikan betapa kejamnya orang dewasa duduk di tempat murid sambil menyuap anak mereka makan.

“Waktu rehat tamat, murid itu kelaparan namun tidak sempat makan. Masa dia letak pinggan yang masih penuh tanpa disentuh, baru aku perasan.

“Aku duduk dan tunggu dia makan. Temankan dia walaupun dia dah kalut nak masuk kelas kerana kawan-kawannya sudah bergegas masuk kelas. Dia takut kena marah dengan cikgu, dia rela berlapar kerana risau lambat masuk kelas.

“Namun dengan jaminan aku, dia akhirnya akur untuk makan. Aku tunggu sampai dia selesai dan aku hantar dia ke kelas. Itu anak yatim yang kau orang dewasa kejam ambil hak dia. Kau paparkan gambar bahagia menyuap anak tercinta di kantin, padahal sebenarnya kebahagiaan kau itu meragut hak anak yatim!,” kata cikgu Mohd Fadli dalam nada kesal.

Katanya, bermula insiden tersebut, beliau sehingga hari ini memberi amaran tegas kepada mana-mana ibu bapa yang menemani anak di sekolah supaya tidak duduk di kantin pada waktu murid ramai.

“Jangan sesekali duduk di kerusi kantin selagi ada murid masih berdiri mencari tempat duduk. Jika ada ibu bapa duduk, sedangkan murid tercari-cari tempat, aku akan marah,” itu yang aku ungkapkan di hari orientasi beberapa hari lepas dan diulangi berkali-kali menandakan aku memang serius tentang hal ini,” katanya.

Cikgu Mohd Fadli dalam pada itu melahirkan ucapan terima kasih dan memuji sikap ibu bapa murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak kerana mengambil pesanan yang disampaikan beliau secara positif.

“Kau lihat gambar terakhir, itu gambar ibu bapa murid sekolah aku. Tidak berani mereka duduk mengambil hak murid-murid aku kerana aku berpesan dengan tegas.

“Semalam (Selasa), hari pertama nampaknya semua ibu bapa murid aku faham. Mereka ajar anak mereka membeli, mereka ajar anak mereka menerima baki, mereka suap anak mereka dengan penuh kasih sayang, namun mereka tidak duduk selagi ada murid berdiri mencari tempat,” ujarnya.

Susulan itu, beliau menggesa guru-guru Tahun Satu di seluruh negara supaya bertegas dalam hal tersebut dengan tidak membiarkan ibu bapa yang tiada perasaan untuk terus menerus mengambil hak anak-anak murid.

Status yang dimuat naik sehingga kini mendapat perkongsian lebih 12,700 pengguna Facebook, yang rata-rata bersetuju dengan saranannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.