Jabatan Meteorologi Keluar Amaran Hujan Lebat Berterusan Di Beberapa Negeri

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk sehingga hari ini, susulan hujan lebat dan angin kencang berterusan di beberapa kawasan di Kemaman, Terengganu, dan Kuantan, Pekan, Maran, Bera serta Rompin, Pahang.

Met Malaysia, dalam satu kenyataan, berkata beberapa kawasan lain turut dikeluarkan amaran waspada cuaca buruk untuk tempoh sama.

“Kawasan terbabit adalah Dungun, Terengganu; Jerantut, Temerloh dan Bentong, Pahang; Segamat dan Mersing, Johor dan Jelebu, Jempol serta Tampin, Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Met Malaysia, mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori dua, di perairan Condore dan barat laut Reef North sehingga esok.

Katanya, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak sehingga 4.5 meter akan menyebabkan angin kencang dan laut bergelora dan berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan serta pantai termasuk menangkap ikan atau perkhidmatan feri.

Met Malaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, di perairan tenggara Samui, Tioman, selatan Condore, Bunguran, Reef South, tenggara Reef North, Layang-Layang, Labuan dan Palawan sehingga esok.

Amaran ribut petir menyeluruh dijangka berlaku sehingga lewat pagi ini, di perairan Selat Melaka Utara dan Tioman.

“Untuk perairan Malaysia, amaran ribut petir menyeluruh di perairan Johor Timur dan Pahang dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

“Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dijangka berlaku sehingga esok di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat, Sabah serta Labuan,” katanya.

Sementara itu, Met Malaysia mengesan Ribut Tropika pada kedudukan kira-kira 276 kilometer (km) ke Tenggara, Nha Trang, Vietnam dan 781 km ke Barat Laut Kudat, Sabah, sekitar jam 5 pagi ini.

“Ribut Tropika bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 25 kmsj. Tiada kesan langsung terhadap negara kita,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.