Ibu Bapa Didenda Anak Ponteng Sekolah

LONDON – Ibu bapa di sebuah daerah di Britain bakal didenda dan didakwa di mahkamah sekiranya anak mereka lewat atau ponteng sekolah lebih 10 kali dalam satu penggal.

Sebuah portal melaporkan, Lembaga pendidikan Staffordshire, baru-baru ini, bersetuju mengenakan denda £120 (RM654) kepada ibu bapa sekiranya anak mereka lewat atau tidak hadir ke sekolah.

Ponteng dan lewat hadir ke sekolah menjadi masalah di sekolah di daerah itu malah peraturan sebelum ini yang denda ibu bapa jika anak mereka tidak hadir atau lewat lebih 20 kali dilihat tidak berkesan.

Satu surat yang dihantar kepada ibu bapa oleh Sekolah Kingsmead di Hednesford memberitahu, perubahan itu dipersetujui ketua guru tempatan.

Katanya, peraturan baru itu dikuatkuasakan bagi membantu meningkatkan kedatangan pelajar ke sekolah.

“Kegagalan memaklumkan kepada sekolah mengenai ketidakhadiran yang dirancang atau mengemukakan bukti menyokong ketidakhadiran atau kelewatan mungkin menyebabkan anda didenda,” kata surat itu.

Sementara itu, Ketua Majlis Pendidikan Staffordshire, Paul Senior berkata, peraturan dibuat bagi menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka awal ke sekolah.

Katanya, peraturan itu bermula apabila pelajar kembali ke sekolah selepas cuti Krismas pada 5 Januari ini.

Sejak dua tahun lalu, 184 ibu bapa dan penjaga didakwa di mahkamah kerana anak mereka lewat atau tidak hadir ke sekolah.

Sebanyak £102,080 (RM556,188) denda dikutip dalam tempoh itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.