Kafir Dan Pengkhianat: Hadi Saran Mahathir Bertaubat

Ini bukan kali pertama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad bertaubat. Sebelum ini Hadi menyarankan Mahathir bertaubat dalam soal peristiwa Memali dan kemudiannya bertaubat atas kesilapan pentadbiran yang panjang
.
Kini sekali lagi Hadi menyeru Mahathir bertaubat apabila melabel beliau sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO.

Menuduh orang sebagai kafir dan pengkhianat adalah melampau menjadikan Mahathir dilihat sebagai terdesak dengan menjadikan serangan peribadi sebagai taktik politik bagi menjatuhkan pemimpin lain.

“Dia macam orang terdesak yang sudah rapat ke dinding. Apabila rapat ke dinding, dia tak boleh nak pergi. Dia (terpaksa) rempuh dinding itu.

“Jadi tak pasal-pasal pecah kepala sendiri. Jangan pecahkan kepala sendiri,” katanya kepada pemberita.

Apabila Mahathir menuding jari dengan menuduh Hadi sebagai pengkhianat, beliau terlupa selama ini beliau juga dilihat sebagai pengkhianat apabila sanggup keluar dari UMNO dan kemudian berada sepentas dengan pembangkang, terutama DAP.

Mahathir dianggap melakukan pengkhianatan tahap tertinggi kepada UMNO, bangsa dan negara apabila beliau berpaling tadah dan bekerjasama dengan pembangkang.

Selepas berdekad mengkritik pembangkang khususnya DAP, Mahathir bersetuju supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi parti komponen Pakatan Harapan.

Bukan itu sahaja, Mahathir kini dikatakan calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan.

Selain menyokong DAP, Mahathir mengisytiharkan sokongan terhadap tunjuk perasaan jalanan anjuran BERSIH dan turut mendesak Anwar Ibrahim, iaitu orang yang beliau sendiri pecat daripada kerajaan dan UMNO pada 1998 ketika masih Perdana Menteri, dibebaskan dari penjara.

Dulu Mahathir menolak tunjuk perasaan dan menyifatkannya sebagai tidak demokratik dan menafikan hak asasi kumpulan majoriti dengan melakukan perbuatan itu pada waktu dan di tempat yang salah. Tapi kini beliau yang memperjuangkan Bersih dan turut menganjurkan himpunan sebelum ini.

“Kalau nak buat juga, buatlah di tempat lain, jangan ganggu orang lain…kumpulan minoriti memang ada hak, tapi jangan gunakannya dengan menafikan hak kumpulan majoriti,” katanya pada 2014.

Tetapi kini, Mahathir sudah menukar pendirian dan atas sebab itu beliau dilabel sebagai jaguh pusingan u.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.