Cakaplah Apa Pun, BR1M Memang Ringankan Beban Kami – Penerima BR1M

TAIPING – Parti pembangkang atau penentang-penentang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh melabelkan apa sahaja mengenai pemberian wang tunai oleh Kerajaan Persekutuan kepada golongan miskin dan pekerja berpendapatan rendah.

Katakanlah apa sahaja, sama ada BR1M itu rasuah atau BR1M adalah umpan namun tuduhan ia sedikit pun memberi terkesan kepada penerima-penerima BR1M.

Sebaliknya, para penerima bantuan itu tidak putus-putus melahirkan kesyukuran kerana dengan wang tunai itu mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Bukan bebas berbelanja, sebaliknya wang yang diterima itu dimafaatkan sepenuhnya untuk membeli makanan bagi mengisi perut keluarga, bahkan ada ibu bapa menyimpannya untuk poket sekolah anak-anak.

Seorang balu, Marie Celine a/p Maslamani, 66, mengakui beliau amat bimbang jika kerajaan menarik semula BR1M yang dinikmati sejak ia diperkenalkan pada tahun 2012 suatu hari nanti.

Marie Celine a/p Maslamani

Beliau yang tidak bekerja memberitahu, dengan wang bantuan itulah dia menggunakannya untuk membeli beras, gula, minyak dan biskut.

“Saya berjimat setiap kali dapat BR1M sebab sudah tiada suami, anak pun tidak ada. Siapa yang mahu memberi saya wang, nasib baik ada BR1M.

“Sekurang-kurangnya, setiap kali dapat BR1M saya akan belanja barang-barang makan untuk tempoh tiga bulan, sebelum dapat kali kedua,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang bapa, Pechimuthu a/l Perumal juga mahu kerajaan meneruskan BR1M kerana sumbangan itu cukup bermakna kepada keluarganya.

Pechimuthu a/l Perumal

Pechimuthu yang membuat pelbagai kerja kampung demi menanggung tiga orang anaknya yang masih bersekolah, menggunakan bantuan BR1M sebanyak RM1,200 untuk perbelanjaan persekolahan tiga orang anaknya, yang masing-masing berada di tingkatan satu, darjah empat dan dua.

“Duit yang saya dapat, saya simpan. Macam bulan Disember lalu saya keluarkan untuk belanja beli pakaian dan buku-buku sekolah.

“Hendak harap pendapatan saya memang susah sebab sekarang pun cukup-cukup makan. Sudah biasa takda duit. Sebab itu duit BR1M cukup bermakna untuk sekolah anak-anak saya,” katanya.

Manakala suri rumah Norsyahida Zakaria, 28, berkata, beliau tidak pernah mengendahkan segala dakwaan yang dibuat oleh parti pembangkang tentang pemberian BR1M.

Norsyahida Zakaria

“Kami susah pun bukan pembangkang tahu, bukan depa tolong, jenguk pun tak. Sekurang-kurangnya dengan BR1M dapat ringankan beban belanja dapur, tampung yuran sekolah anak.

“Kalau takda BR1M bukan depa yang susah, kami ini yang melarat,” katanya yang sangat berharap kerajaan tidak akan menarik BR1M.

Warga emas, Rodziah Ismail, 69 pula memberitahu, dengan adanya BR1M beliau tidak lagi bergantung kepada pemberian anak-anak.

“Mereka pun ada keluarga, kerja pun biasa-biasa sahaja. Makcik dapat BR1M ni alhamdulillah. Anak-anak tak payah bagi lagi,” ujarnya.

Sementara seorang suri rumah, Annie Theresa a/p Sandanasamy mengakui BR1M adalah sumber kewangan yang penting dan banyak membantunya sekeluarga.

“Anak saya baru sahaja menuntut di institut perguruan dan ada anak-anak lain masih sekolah. Dengan duit BR1M inilah saya agihkan kepada anak-anak untuk beli buku, wang saku mereka.

“Kalau BR1M ini ditiadakan lagi, memang tak tahu hendak cakap macam mana. Memang saya susah hati,” kata Annie.

Manap Asrak, 61, berkata, dia tidak pernah mengambil pusing kata-kata buruk yang dilemparkan kepada kerajaan memandangkan kerajaanlah yang banyak membantu rakyat yang susah.

Beliau yang juga penerima BR1M berkata, walaupun tidak pernah bersemuka dengan Perdana Menteri, namun dia cukup berterima kasih dengan pelbagai bantuan yang diberikan terutama BR1M.

“Duit BR1M memang sangat bermakna untuk pakcik. Bukan untuk mewah tetapi dapatlah makan apa yang teringin, belanja sikit duit dapur, minyak motor. Kalau hendak harap sapa-sapa bagi banyak tu memang tidak pernah,” kata Manap.

Rozanaida Othman

Seorang lagi suri rumah, Rozanaida Othman, 41, juga menaruh harapan agar kerajaan meneruskan BR1M tanpa mempedulikan kata-kata atau tohmahan parti politik lawan.

“BR1M banyak bantu terutama belanja dapur. Kadang-kadang bila tak cukup duit, hutang kat kedai, dapat BR1M baru bayar.

“Alhamdulillah, syukur sangat, memang BR1M banyak kurangkan beban saya sekeluarga,” katanya. -theRakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.