Achey, Isteri Mahu Jumpa Pakar Perbidana

KUALA LUMPUR: Siapa sangka, di sebalik jenaka bersahaja, ada beban ditanggung pelawak, Achey Bocey.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 32, menjelaskan, apa yang diluahkan dalam sebuah program, baru-baru ini adalah sekadar berkongsi rasa mengenai dirinya dan isteri yang belum dikurniakan anak.

“Tidak sangka perkongsian yang dibuat mendapat perhatian banyak pihak. Ramai yang menghubungi saya untuk memberikan alternatif berhubung isu itu.

“Saya bercerita sekadar berkongsi perasaan pasangan yang belum mendapat anak. Saya memohon maaf kepada ibu bapa yang kurang selesa saya mendekati anak-anak mereka.

“Mungkin dalam tidak sedar, ada pihak yang tidak senang dengan tindak tanduk saya. Jadi saya jelaskan secara terperinci supaya tidak ada mana-mana pihak yang salah faham,” katanya kepada BH Online.

Achey berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana keluarga tidak pernah memberi tekanan mengenai soal cahaya mata.

“Sebaliknya, keluarga faham keadaan saya dan isteri,” katanya.

Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya, 28, mendirikan rumah tangga sejak tujuh tahun lalu. Namun, sehingga hari ini, mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Achey memberitahu, mereka sudah mendapatkan nasihat doktor namun merancang berjumpa pakar perbidanan dan sakit puan, tahun ini.

“Kami juga mendapatkan rawatan tradisional tetapi mungkin belum ada rezeki lagi.

“Rezeki setiap orang sudah diatur sebaik-baiknya oleh Allah. Jika dilihat daripada sudut positif, buat masa ini, lebih baik fokus diberi kepada menjaga kedua-dua orang tua kami,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.