Didenda RM1,000 Berebut Parkir Kereta

PETALING JAYA – Akibat bergaduh dengan pasangan warga emas hanya kerana berebut tempat letak kereta, sepasang suami isteri masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

 

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Azalisam Wahi, 31, dan isterinya, Siti Norhidayah Abdullah, 26, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

 

Nor Azalisam bekerja sebagai mekanik manakala isterinya seorang suri rumah.

 

Mengikut pertuduhan suami isteri terbabit didakwa terlibat dalam pergaduhan di tempat awam sehingga ia mengganggu ketenteraman penduduk sekitarnya.

 

Kesalahan tersebut dilakukan di hadapan sebuah rumah No. 554C, Jalan SS9/2, Sungei Way di sini pada pukul 9.50 pagi, 29 Disember tahun lalu.

 

Nor Azalisam dan Siti Norhidayah didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman yang mewakili pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.