Suruh Sultan Negeri Lain Beri Ayah Anugerah, Kata Rani Kulup

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berbesar hati menerima anugerah daripada Raja Noor Jan Shah Tuah, individu yang mengaku sebagai Sultan Melaka.

 

Abdul Rani yang membahasakan dirinya sebagai ‘Ayah’ mengakui tidak menyangka dengan hanya satu laporan polis yang dibuatnya sebelum ini demi maruah Sultan Melaka’ itu telah mendapat perhatian Raja Noor Jan.

 

“Ayah terkejut. Tak sangkalah dengan satu repot pada tahun 2012 lalu beliau berikan ayah anugerah ini. Pastinya saya perlu berterima kasih dengan keprihatinan beliau dan menghargai jasa ayah.

 

“Ayah buat repot pelbagai isu lain termasuk melibatkan penghinaan kepada sultan Selangor, Johor, Perak dan Kedah. Tapi hanya beliau saja (‘Sultan Melaka)’ yang beri anugerah,” katanya di petik dari laporan Malaysiakini.

 

Baru-baru ini Raja Noor Jan ‘menganugerahkan’ gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka kepada Abdul Rani yang kemudiannya menjadi viral di media sosial dan dipertikaikan banyak pihak berikutan status tidak sah Raja Noor Jan sebagai ‘Sultan Melaka’.

 

Mengulas pertikaian pelbagai pihak terhadap anugerah yang diterima dari ‘Sultan Melaka’ itu, Abdul Rani tidak ambil kisah dengan pandangan tersebut sebaliknya meminta Sultan dan Raja di negeri pula mengiktiraf jasanya dengan memberikan anugerah kepadanya.

 

“Kalau mereka cakap Sultan Melaka tidak sah, suruhlah sultan lain beri anugerah kepada ayah.

 

“Banyak jasa saya kepada sultan lain termasuk menjaga pengorbanan kepada bangsa, negara dan agama Islam,” katanya.

 

Dalam laporan yang sama, Abdul Rani menafikan telah menyogok wang ringgit kepada Raja Noor Jan semata-mata mahu mendapatkan gelaran itu.

 

“Alhamdulillah saya gembira dengan pemberian tersebut, di samping satu hadiah istimewa iaitu pingat penganugerahan. Beliau juga begitu menghargai pengorbanan saya sepanjang 22 tahun dalam pasukan tentera tanah air,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.