Obama, Clinton Cipta Pengganas IS, Kata Donald Trump

LONDON — Donald Trump, calon presiden yang sensasi daripada Republikan, muncul dengan dakwaan baru, dan tentunya kontroversi.

 

Hartawan itu, yang dikenali meluas melalui program TV “The Apprentice”, menyalahkan Barack Obama dan bakal pesaingnya Hillary Clinton, calon presiden Demokrat.

 

Presiden Amerika Syarikat dan bekas setiausaha negara itu didakwa bertanggungjawab mengukuhkan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Syria, lapor The Guardian semalam.

 

Bercakap di Mississippi kelmarin, Trump mendakwa pentadbiran Obama sepatutnya mengambil kira cadangan awalnya supaya Amerika Syarikat merampas aset minyak IS.

 

“Banyak perkara saya ramalkan, termasuk ‘ambil minyak [IS]’. Sudah tiga tahun saya katakan perkara yang sama, tetapi semua orang asyik kata, ‘Oh, kita tidak boleh buat begitu. Negara itu berdaulat’. Tidak ada negara di sana!” katanya.

 

“Mereka yang mencipta IS. Hillary Clinton cipta IS bersama Obama,” kata Trump lagi.

 

Mengulas bantahan keras rakyat Iran terhadap hukuman mati 47 tahanan Syiah di Arab Saudi, termasuk ulama tersohor Sheikh Nimr al-Nimr, Trump menyalahkan republik Islam yang didakwanya ingin menakluk jirannya itu.

 

“Di Tehran, mereka bakar kedutaan Arab Saudi, anda lihat perkara itu?” kata Trump di awal ucapannya.

 

“Sekarang Iran mahu menawan Arab Saudi. Mereka sentiasa mahukan negara itu. Mereka mahukan minyak, OK? Mereka selama ini mahukan itu.”

 

Dalam siri kempennya di Biloxi, Mississippi, Trump tidak pula mengulas video ucapannya yang dianggap anti-umat Islam digunakan oleh kumpulan militan Somalia untuk mengapi-apikan kebencian kepada Barat dan menyeru perjuangan Islam.

 

Namun, sewaktu diwawancara oleh stesen televisyen CBS kelmarin, Trump tetap tidak berganjak. “Saya perlu suarakan apa yang saya hendak sampaikan,” katanya.

 

“Dan anda [tahu] apa yang saya mahu katakan? Di sana ada satu masalah. Kita kena cari apa masalahnya. Dan kita kena selesaikan masalah itu.”

 

Trump menghabiskan banyak masa dalam perhimpunan di Mississippi dengan menyerang media yang dianggapnya tidak membuat liputan adil terhadapnya. Media, dakwanya, “sungguh tidak adil … teruk.” – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.