Wanita Diperdaya Anak ‘Tan Sri’

Melaka – Wanita mana yang tidak impikan majlis perkahwinan mewah ibarat ‘wedding of the year’.

Namun, bagi seorang wanita di Telok Mas, di sini, harapannya untuk berkahwin dengan seorang anak  ‘Tan Sri’ dengan majlis gilang-gemilang di sebuah hotel lima bintang hanya tinggal harapan.

Manakan tidak, lelaki yang disangkakan ‘orang berada’ itu bukan saja seorang yang sengkek, malah terbabit dengan berbagai kes jenayah dan penipuan sebelum ini.

Wanita terbabit, Noli Dilaila Zakaria (bukan nama sebenar), 22, membuat pendedahan kepada Sinar Harian, semalam menceritakan kisah dia menjadi mangsa lelaki berkenaan, sehingga hampir mendirikan rumah tangga.

Jururawat sebuah hospital itu berkata, perkenalan menerusi aplikasi sosial Bee Talk, Jun tahun lalu merupakan detik permulaan hubungan cinta antara dia bersama lelaki yang dikenali sebagai Adam yang mengaku pensyarah di sebuah universiti.

Malah katanya, Adam juga mendakwa memiliki sebuah studio jamming di Melaka Raya, Banda Hilir.

“Hubungan kami semakin rapat sehingga saya terlalu yakin hubungan kami berakhir di jinjang pelamin. Selepas beberapa minggu kami berkenalan, dia datang berjumpa keluarga saya,” katanya.

Noli berkata, selepas itu, dia dibawa berjumpa dengan ibu Adam yang dipanggil  ‘Puan Sri” di sebuah hotel lima bintang di Banda Hilir, Julai tahun lalu.

“Sejak itu kami mula membuat perancangan untuk mengadakan majlis pertunangan di Dewan MITC pada hari ketiga Syawal.

“Adam turut merancang majlis resepsi kami diadakan di hotel sama, malah mendakwa ibunya merupakan ahli lembaga pengarah hotel berkenaan,” katanya.

Norli bagaimanapun berkata, timbul rasa keraguan dalam kalangan sanak-saudaranya apabila Adam meminta nombor kad pengenalan setiap ahli keluarga dan saudara terdekat, kononnya untuk pas masuk ke dewan pada majlis pertunangannya nanti.

“Dalam tempoh perkenalan kami, sepupu dan saudara-mara saya ada menyelidik latar belakang Adam. Dari situ, mereka ada beritahu semua berkaitan Adam termasuk latar belakang keluarga kaya yang sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Namun, katanya, dia masih tidak percaya Adam menipu sehinggalah kejadian rumah keluarga Noli dipecah masuk ketika mereka sekeluarga bercuti pada 6 Oktober lalu, sehingga pelbagai barangan berharga lesap.

“Kejadian pecah masuk itu menyebabkan ibu bapanya tidak sedap hati kerana mengesyaki ia dilakukan Adam, lalu meminta saya memutuskan hubungan dan tidak lagi berhubung dengannya lagi.

“Selepas memikirkan kata-kata ibu, hampir dua minggu selepas itu, saya tidak lagi berhubung dengan Adam,” katanya.

Norli yang merupakan anak sulung dari empat beradik berkata, dia bagaimanapun pernah curiga mengenai latar belakang Adam apabila meminjam wang daripadanya.

“Saya hairan kerana dia seorang yang berada, malah dia hanya pakai kereta Proton Perdana. Tapi saya tetap percaya dengan dia cuma mujur saya hanya beri pinjam RM200 saja. Itupun dia janji akan pulangkan semula. Namun sehingga kini dia belum memulangkannya lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Norli berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu menerusi akhbar tempatan, baru-baru ini, bahawa Adam ditangkap polis kerana terbabit dalam satu kejadian jenayah di negeri ini.

Terkejut dengan berita itu dan tidak mahu wanita lain menjadi mangsa, Noli tampil membuat aduan di Balai Polis Kandang, kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

“Saya mungkin rugi sedikit sebab beri dia RM200 tetapi tidak mustahil kalau saya teruskan hubungan, mungkin saya sudah serahkan RM200,000.

“Saya berharap semua wanita di luar sana berhati-hati menjalin hubungan dengan lelaki yang baru dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima laporan itu. – SInar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.