VIDEO: Kes Buli Pelajar Di Kedah: Empat Laporan Polis Diterima

Alor Setar – Rentetan satu video yang tersebar di Internet berhubung kejadian buli di sebuah sekolah rendah yang membabitkan lebih lima murid dan seorang mangsa, Polis Kedah menerima empat laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, kes buli itu berlaku September tahun lalu, tetapi tiada laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu, sehinggalah rakaman video itu menjadi viral di laman sosial.

Menurutnya, empat laporan polis telah dibuat semalam oleh beberapa pihak yang menonton rakaman video itu di laman sosial yang tersebar sejak Jumaat lalu.

Susulan itu, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, kerana merusuh tanpa senjata.

“Rakaman video itu melibatkan lima murid dan seorang mangsa yang masing-masing merupakan murid tahun enam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Siasatan mendapati, kejadian buli itu berlaku kira-kira dua minggu, selepas tamat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau turut meminta pelajar yang menjadi mangsa buli atau tahu mengenai sebarang kejadian buli supaya membuat laporan polis.

Sementara itu, penjaga murid berkenaan dalam kenyataan bertulisnya, memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan pembuli itu dan polis telah memberi amaran kepada kumpulan murid yang membuli mangsa, memandangkan mereka meneruskan persekolahan di sekolah menengah berasingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.