VIDEO: Anak Kecil Menangis Melihat Mangsa Banjir Viral Di Media Sosial

Kuala Lumpur – Video seorang bapa mendodoikan anaknya yang sedang tidur di dalam sebuah kotak polisterin ketika banjir sambil mengalunkan bacaan zikir menjadi viral di laman sosial, menyentuh hati seorang kanak-kanak lelaki yang menonton video tersebut.

Kanak-kanak berusia lingkungan dua tahun itu menangis seolah-olah memahami penderitaan yang dialami oleh kedua beranak terbabit beberapa saat selepas menonton video itu melalui telefon bimbit.

Dia kemudian ditenangkan oleh seorang wanita dipercayai ibunya yang telah memujuk beberapa kali.

Gelagat kanak-kanak itu dirakam dalam satu video berdurasi satu minit 27 saat yang kini turut diviralkan di laman sosial Facebook.

Video tersebut telah ditonton lebih 17, 644 kali dan turut dikongsikan sebanyak 584 kali serta disukai lebih 3,272 pengguna laman sosial itu.

Beberapa hari lalu, beberapa portal ada menyiarkan laporan berhubung status pengguna laman sosial Facebook `Kitalah Malaysia’ yang telah memuat naik satu video menunjukkan seorang bapa mendodoikan anak lelakinya tidur semasa ditimpa bencana banjir.

Dalam video yang sepanjang 43 saat itu, bapa kanak-kanak tersebut mempunyai cara tersendiri untuk menidurkan anaknya apabila meletakkan kanak-kanak tersebut di dalam sebuah kotak polisterin sambil mendodoikannya di dalam banjir.

Bapa tersebut turut membacakan alunan zikir-zikir munajat hingga anaknya itu terlena dalam keadaan duduk di dalam kotak polisterin tersebut. – Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.