Tiga Korban AirAsia QZ8501 Ditemui Terapung

Kuala Lumpur – Tiga mayat dijumpai pada hari kelapan operasi mencari mangsa dan bangkai pesawat AirAsia QZ8501.

Portal MetroTVNews.com melaporkan mayat tersebut ditemui terapung di perairan Selat Karimata, sekitar 190 kilometer arah barat daya Pangkalan Bun.

“Ada tiga mayat di lokasi dan sekitarnya sudah diberi tanda asap oleh helikopter Seahawk milik Amerika Syarikat setelah mendapat maklumat daripada pesawat Jepun,” kata juruterbang CN2906, Setiawan.

Menurutnya, ketika tinjauan dari udara, ketiga-tiga mayat itu dilihat berada tidak jauh dari lokasi awal iaitu hanya sekitar 100 meter.

“Lokasi ini dekat dengan penemuan mayat di hari ketiga,” katanya kepada portal berkenaan.

Setiawan juga berkata tiada serpihan pesawat ditemui berdekatan dengan mayat tersebut.

Portal berkenaan turut melaporkan tiga pesawat diterbangkan untuk terus mencari mangsa dan serpihan pesawat malang itu.

Armada Rusia turut tiba bagi membantu operasi mencari dan mengesan.

Pesawat Airbus A320-200 itu berlepas dari Surabaya pada 5.20 pagi pada 28 Disember dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan menara kawalan trafik udara Jakarta ialah pada 6.12 pagi waktu Indonesia.

Daripada 155 orang penumpang, 149 adalah dari Indonesia, tiga dari Korea Selatan, satu dari Singapura, Malaysia dan Britain. Anak kapalnya pula terdiri daripada enam warga Indonesia dan satu warga Perancis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.