Tebang Pokok Macam Tak Ada Undang-Undang – Shahidan Kassim

Kuala Lumpur – Kegiatan pembalakan haram yang tidak terkawal di Kelantan merupakan faktor utama banjir besar berlaku di negeri itu baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata penanaman semula pokok perlu dilakukan bagi mengelak negeri itu dilanda banjir besar sekali lagi.

“Sekarang ini tebatan banjir tidak boleh selesaikan masalah, kita kena tanam semula pokok yang telah dimusnahkan di hutan yang telah diteroka.

“Di Kelantan, cara mereka tebang pokok macam negeri tak ada undang-undang, jabatan yang patut jaga hutan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Padang Changkat di Parit hari ini.

Pusat pemindahan di daerah Perak Tengah itu menempatkan 108 mangsa daripada 38 keluarga setakat ini.

Shahidan berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu kerajaan negeri memulihkan kawasan hutan yang diteroka dan mengembalikan tanah rizab yang ditukar statusnya.

“Rizab hutan adalah rizab hutan, kawasan hutan adalah kawasan tadahan air. Jangan kita tebang pokok di kawasan tadahan air.

“Kita harus buat sesuatu dengan segera… mereka yang lakukan pembalakan tidak kena apa-apa sedangkan rakyat Kelantan menderita dengan apa yang menimpa mereka,” katanya.

Beliau berkata pihak yang terlibat dengan kegiatan pembalakan haram itu perlu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.