Ramai Pemimpin PAS Tidak ‘Wala’

Kuala Lumpur – Bekas naib presiden PAS Datuk Mohd Nakhaie Ahmad mendakwa ramai kalangan pimpinan parti itu tidak berpegang teguh aspek ketaatan atau wala’ apabila prinsip berjemaah turut diberikan kepada pihak luar.

Menurut beliau, antara pemimpin PAS yang dikenalinya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kelang Saari Sungib serta bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad.

Ujar Nakhaie, kedua-dua pemimpin itu masih mengekalkan wala’ atau ketaatan kepada Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) yang pernah dinaungi mereka sebelum menyertai PAS.

“Wala’ ini definasinya adalah ketaatan seseorang itu dan golongan profesional yang masuk ke dalam PAS termasuk juga golongan ulama muda sebahagiannya telah pun menganggotai badan NGO lain yang dikenali sebagai gerakan dakwah.

“Sebenarnya mereka ini daripada NGO seperti IKRAM yang dulu adalah ISMA, jadi daripada kumpulan ini mereka menjadikan IKRAM sebagai induk dan orang-orang mereka hanya akan dibawa untuk menyertai medan politik,” katanya.

Menurut beliau lagi, penyertaan pemimpin daripada pertubuhan atau gerakan dakwah dilakukan bertujuan untuk menguasai dan mendominasi hirarki tertinggi parti politik termasuk dalam PAS.

“Jadi mereka akan menyusup masuk ke dalam parti-parti politik untuk menguasai dan banyak di antara mereka dihantar oleh kumpulan ini menyertai PAS seperti Saari Sungib.

“Saari Sungib itu ketua IKRAM sebenarnya tapi apabila beliau menyertai PAS terpaksalah letak jawatan tapi ketaatan beliau masih kepada IKRAM.

“Begitu juga seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan banyak lagi yang menyertai PAS tapi wala’ atau ketaatan sebenar kepada kumpulan induk beliau iaitu IKRAM,” katanya.

Pada Mei lalu PAS berdepan pergolakan dalaman dan dilihat semakin parah selepas timbulnya krisis pelantikan Menteri Besar Selangor, menyaksikan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuk dari parti sendiri gara-gara menolak cadangan komponennya untuk hanya mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar.

Susulan polemik itu, Abdul Hadi semasa muktamar tahunan PAS 2014 menyelar tindakan pimpinan dan ahlinya yang tidak wala’ ataupun taat kepada pemimpin parti dengan menyifatkan ia bertentangan dengan prinsip berjemaah dan wala’ kepada pihak lain adalah haram dalam sebuah jemaah Islam.

Tegas beliau, ahli PAS bukan sahaja perlu taat malah mesti menjaga adab dalam berjemaah dan tidak menjadikan parti sebagai alat untuk mencapai kepentingan peribadi.

 

Penglibatan pemimpin NGO dakwah untuk menguasai PAS

Penglibatan individu daripada NGO dakwah itu, tambah Nakhaie menyebabkan konflik dalaman PAS terutamanya dari aspek wala’ yang menjadi pegangan ahli parti berteraskan Islam itu.

“Itu yang menimbulkan masalah wala’ ini, mereka hanya menganggotai PAS sebagai lantai di bawah dan induk IKRAM.

“Ia bertujuan menguasai PAS sebagai medan politik mereka,” katanya.

Jelas bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ini, meskipun berdepan kesukaran untuk mendapatkan kepercayaan akar umbi PAS namun golongan itu yang majoriti bukan ulama bekerja keras dan telah memperoleh sokongan.

“Ada golongan-golongan itu walaupun mungkin tak banyak kerana ia diatur oleh kumpulan atau jemaah lain untuk mereka.

“Tapi tak semestinya boleh mempergunakan akar umbi PAS tapi mereka bekerja ke arah itulah dan mereka pun mula mendapat sokongan sebenarnya,” katanya.

Nakahie berkata kumpulan itu turut bekerjasama dengan ulama muda PAS bagi mengembangkan pengaruh mereka di setiap peringkat parti berkenaan.

“Mereka ini bekerjasama dengan ulama- ulama muda dalam PAS, golongan ini yang agak terbuka fikirannya, yang lebih liberal, berpandangan jauh, kumpulan yang progresif atau erdoganlah.

“Ya, tapi mereka ini memerlukan masa untuk mempengaruhi dan menguasai PAS,” katanya.

 

Ulama gagal main peranan utama dalam PAS

Tegas beliau, kegagalan PAS mempertahankan prinsip serta pengaruh dalam kalangan ahli serta pimpinan disebabkan kelemahan golongan ulama yang masih berfikiran kolot selain enggan menerima idea-idea baru yang dibawa ke dalam parti.

“Tetapi kelemahan golongan ulama ini kerana mereka tidak terima, sudah berapa tahun kepimpinan ulama ini ditonjolkan tapi mereka tidak mempunyai satu pandangan baik dari segi pemikiran mahupun dari segi gerakan yang boleh ditonjolkan sebagai satu kejayaan mereka.

“Jadi dengan sebab itu maka terdapat golongan-golongan yang nakkan perubahan, progresif sedikit berasa kecewa dengan mereka,” katanya.

Justeru tambahnya, PAS perlu melakukan ‘rombakan’ selain tampil dengan imej dan idea baru sekiranya mahu memastikan ia kekal relevan dalam persada politik tanah air.

“Itu yang menimbulkan krisis, kalau mereka berwibawa, betul, tidak hanya retorik, bercakap pun mestilah mempunyai idea-idea baru tapi ini idea dan retorik lama juga.

“Jadi itu dah membosankan sebahagian daripada aktivis PAS yang baru,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.