Pesawat Bukan Bas Mini, Boleh Pandu Sesuka Hati

Jakarta – “Agaknya pesawat itu macam bas mini, boleh dipandu sesuka hati?”

Itu kenyataan bekas pengarah urusan PT Merpati Nusantara, Sardjono Jhony Tjitrokusumo pagi semalam sepertimana dipetik metrotvnews.com berhubung laluan pesawat AirAsia yang dikatakan melanggar jadual penerbangan yang dibenarkan.

“Penerbangan AirAsia di hari minggu pasti dengan keizinan; itukan musim cuti. Kalaupun tiada dalam jadual awal, pasti ada Flight Approval (permit penerbangan) untuk penerbangan tambahan. Inikan sempena Hari Krismas dan Tahun Baru.

“Jangan buat cerita dengan mencari kesalahan yang tidak ada. Sabar dan tunggu hasil siasatan KNKT. Jangan memandai-mandai seolah tahu segalanya,” katanya.

Beliau turut berkata yang proses evakuasi tragedi QZ8501 masih berjalan dan semua orang sedang berduka ekoran kehilangan sanak keluarga.

“Penyebab kemalangan masih belum diketahui. Tunggulah, bersabarlah dan jangan menambah duka mereka yang terlibat melalui komentar bodoh yang tidak bertanggung jawab dan tidak berasas,” katanya lagi.

Media semalam melaporkan tindakan kerajaan Indonesia membekukan laluan penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura kerana dikatakan melanggar surat kebenaran yang hanya mengizinkan penerbangan dilakukan pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

Namun penerbangan QZ8501 milik AirAsia yang dilaporkan terhempas di Laut Jawa telah terbang pada hari Ahad, 28 Disember.

Kerajaan Singapura, dalam pada itu, berkata pesawat malang tersebut telah mendapat kelulusan untuk terbang oleh pihak berkuasa penerbangan awam republik itu. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.