Lelaki Rosakkan Patung Berhala Ditahan

Bukit Mertajam – Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai merosakkan patung berhala dan peralatan sembahyang di Wat Canthraram, Tanah Liat, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata, lelaki, yang dipercayai kurang siuman itu, ditahan di rumahnya di Tasek Gelugor, pada jam 6 petang semalam dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan maklumat awam dan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki lelaki tiada pekerjaan itu, polis berjaya mengesan alamat rumahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rusli berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, bagi mengetahui punca sebenar lelaki itu merosakkan patung berhala dan peralatan sembahyang di rumah ibadah berkenaan.

Lelaki itu dikatakan pergi ke rumah ibadah itu pada jam 10.10 pagi, dengan menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5, sebelum menjatuh dan memecahkan patung berhala serta membuang bekas tembaga berisi colok sembahyang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.