Hentikan spekulasi, MIC Tidak Dibubar – Palanivel

Kuala Lumpur – “Hentikan spekulasi mengenai pembubaran MIC oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan biar saya jelaskan isu sebenar.”

Tegas Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel, terdapat terlalu banyak dakwaan dan maklumat salah kini mengenai isu pembubaran MIC yang dikatakan berpunca daripadanya.

“ROS telah mengeluarkan surat bertarikh 5 Disember 2014 kepada MIC berhubung isu pemilihan jawatankuasa yang dikatakan punca kemelut ini dan kita sudah melantik peguam untuk meneliti isu berkenaan.

“Peguam juga sudah menasihati parti untuk mengeluarkan surat bertarikh 24 Disember lepas dan menjelaskan isu berkenaan ROS selain ROS juga sudah menjawab surat itu pada 31 Disember,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan Palanivel itu menjawab dakwaan Naib Presiden MIC, Datuk M.Saravanan yang memintanya menyelesaikan kemelut parti dengan mengikut arahan yang diputuskan ROS untuk mengelakkan parti itu terbubar dengan sendirinya.

Saravanan membayangkan, seandainya parti dibubarkan, nasib lebih 600,000 ahli dan kaum India di negara ini disifatkan bakal menjadi penuh tanda tanya akibat tindakan Presiden mereka sendiri.

Sebuah portal melaporkan, bekas anggota jawatankuasa pusat MIC yang disingkirkan, Ramanan mendakwa Palanivel sengaja membiarkan ROS untuk membatalkan pendaftaran parti.

Ramanan berkata parti yang sudah berusia 68 tahun itu menghadapi risiko pembatalan pendaftaran kerana gagal memperbetulkan isu berkaitan pemilihan di beberapa bahagian dalam tempoh 30 hari seperti diarahkan ROS.

Dalam pada itu kata Palanivel, peguam parti juga sudah meneliti semua isu-isu dan akan memberikan nasihat mengenai tindakan seterusnya dalam masa terdekat.

“Pada ketika ini, saya tidak dapat memberikan maklumat lanjut kerana ia boleh menjejaskan hak MIC.

“Pada 2 Januari lepas, kami sudah menulis kepada ROS dan meminta pelanjutan masa tanpa menjejaskan hak MIC,” jelasnya.

Kata Palanivel lagi, pihaknya sudah mengikut prosedur saluran yang betul dan diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan 1966 dalam menangani aduan serta keputusan yang bakal dibuat ROS.

“Kami, bersama-sama dengan peguam, mengikuti prosedur yang betul dan telah mengambil segala langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan MIC dalam perkara ini,” ujarnya.

Oleh itu jaminnya, sebarang kebimbangan bahawa MIC akan dibatalkan pendaftarannya dalam masa 90 hari dari 5 Disember lepas tidak akan berlaku.

“Saya ingin memberi jaminan kepada semua bahawa kita tidak akan dalam apa jua cara membenarkan pembatalan pendaftaran tersebut akan berlaku,” jelasnya.

MIC sepatutnya mengadakan perhimpunan agung tahunannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula dengan sayap Wanita, Putera dan Puteri Ahad lepas dengan perhimpunan agung parti dijadualkan pada 13 dan 14 Disember.

Pemilihan MIC tahun lepas menyaksikan perebutan antara lapan pemimpin kanan bagi jawatan tiga naib presiden sementara 88 calon, antara mereka dua wanita, bertanding bagi 23 jawatan dalam CWC.

Pemilihan bagi jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk S Sothinathan, Datuk M Saravanan dan Datuk S Balakrishnan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.