5 ditahan di India berhubung kes rogol pelancong Jepun

KOLKATA: Lima individu ditahan kerana merogol berulang kali dan memeras wang seorang pelancong muda Jepun yang dikurung hampir sebulan di bilik bawah tanah berhampiran kuil Buddha terkenal di India.

Pengalaman pahit mangsa berusia 22 tahun itu bermula di Kolkata, ibu negeri Benggala Barat di mana beliau bertemu tiga lelaki tempatan sejurus tiba pada 20 November.

Lelaki berkenaan, termasuk seorang yang boleh bertutur bahasa Jepun, berjaya memujuk wanita berkenaan mengeluarkan wang kira-kira AS$1,200 sebelum mereka sama-sama ke kuil Bodh Gaya di negeri Bihar.

Di sana, mangsa diserahkan kepada dua lelaki bersaudara yang mengurung beliau dalam sebuah bilik bawah tanah dan merogolnya berulang kali selama hampir sebulan.

Dua beradik yang bekerja sebagai pemandu pelancong, ditahan kelmarin dan dibawa ke Kolkata di mana mereka dihadapkan ke mahkamah semalam.

Menurut Pesuruhjaya Polis Bersama Kolkata, Pallab Kanti Ghosh, tiga lagi lelaki ditahan kerana memeras wang daripada mangsa dan menyerahkannya kepada dua beradik yang didakwa merogol itu.

Wanita berkenaan berjaya melarikan diri dari Gaya ke bandar Varanasi di mana beliau bertemu beberapa pelancong Jepun yang membantu beliau menghubungi konsulat di Kolkata. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.