Tugas KSU Kementerian Pendidikan Bakal Dibekukan Sebelum Bersara?

KUALA LUMPUR – Fungsi tugas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Dato’ Dr. Mohd Ghazali Abas didakwa akan dibekukan sebelum beliau bersara tahun depan, dakwa satu laporan atas talian yang viral di laman sosial sejak 30 November lepas.

Laporan itu yang memetik kenyataan dalaman mengaitkan pembekuan itu dengan pejabat Menteri Pendidikan dan didakwa ada kaitan dengan lebih 1,000 tender pembersihan, pembekalan makanan dan kawalan keselamatan bernilai lebih RM2 bilion.

“Maklumat dalaman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberitahu bahawa terdapat tender bernilai RM2.5 bilion merangkumi lebih 1,300 tender (pembersihan, pembekalan makanan dan kawalan keselamatan) seluruh negara yang akan dibatalkan (3 Dis, Selasa) atas arahan berbentuk ugutan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Ghazali Abas.

“Untuk rekod, pembatalan keputusan tender ini telah berlaku sebanyak 2 kali, iaitu pada Jan 2019 dan Jun 2019. Persoalannya, mengapa berulangkali berlaku pembatalan keputusan tender ini?

“Sumber dalaman memberitahu bahawa terdapat syarikat-syarikat kroni Maszlee tidak disenarai pendek kerana gagal dalam proses penilaian, penyaringan dan pemarkahan tender yang telah dibuat berulang kali,” kata laporan yang viral di media sosial itu.

Laporan yang sama mendakwa KSU Kementerian Pendidikan dan Timbalannya telah bertemu dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi memberi nasihat supaya tidak membatalkan tender berkenaan bagi kali ketiga kerana dikhuatiri melanggar peraturan pembendaharaan.

“Bila hal pembatalan keputusan tender ini diketahui oleh KSU, maka beliau dan Timbalan KSU telah berjumpa dengan Maszlee. Mereka nasihatkan secara profesional supaya rancangan pembatalan ini tidak diteruskan kerana jika ianya berlaku untuk kali ketiga, KPM akan melanggar klausa Arahan Pembendaharaan, PK 4.1 Pentadbiran Kontrak Dalam Perolehan Kerajaan Secara Am, Kementerian Kewangan.

“Tidak terhenti di situ saja, dalam diam Ahli Parlimen Simpang Renggam ini mengarahkan Pegawai Khasnya berjumpa dan mendesak KSU untuk bersetuju dengan cadangan asal iaitu membatalkan keputusan tender tersebut. Namun hal ini dibantah oleh KSU yang tidak mahu reputasi Kementerian tercalar dek tindakan mengundang pelbagai persepsi dan kesalahan.

“(Pegawai Menteri) memberi amaran berbentuk ugutan sekiranya KSU masih berkeras dengan tindakan tindak menyokong kehendak Maszlee, maka KSU akan di’pool’ atau di sejuk bekukan tanpa tugas di Kementerian lain sehingga beliau bersara pada pertengahan tahun 2020,” kata laporan itu lagi.

Dalam perkembangan lain, dua hari lalu menerusi satu kenyataan media, Kementerian Pendidikan berkata proses pemutihan sedang dilakukan bagi memastikan bagi memastikan tiada sesiapa boleh memanipulasi proses perolehan bagi 3 perkhidmatan iaitu Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK), Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) serta Bekalan Makanan Bermasak (BMB) untuk kontrak bermula 1 Jan 2020.

“Kementerian juga memerlukan masa untuk memastikan pemilik syarikat yang melepasi syarat-syarat teknikal bukan dari kalangan pemilik yang syarikatnya telah disenarai hitamkan atau bermasalah. Kementerian juga perlu memastikan tidak ada kelebihan diperoleh oleh petender yang melanggar integriti proses perolehan dalam apa bentuk sekalipun,” katanya kenyataan itu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!