Kerajaan Digesa Bertindak Tegas Terhadap Penganjur Festival Tatu Separuh Bogel

KUALA LUMPUR – Penganjuran Festival Tatu Malaysia 2019 baru-baru ini bukan sahaja tidak bermoral dan melanggar etika malah bercanggah dengan Rukun Negara.

Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Serentak itu, Ketua Penerangan Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad menggesa tindakan undang-undang diambil ke atas pihak penganjur kerana melanggar etika berikutan ada peragaan separuh bogel.

Lebih mengecewakan, katanya, penganjuran seperti itu dilakukan tanpa pemantauan ketat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sehingga dilihat meminggirkan sosial budaya ketimuran di Malaysia.

“Festival ini secara tidak langsung membuka ruang kepada rakyat Malaysia yang majoritinya orang Islam untuk turut sama menyertainya tanpa segan silu.

“Padahal, amalan bertatu ini dilarang sama sekali dalam agama Islam kerana ia bertujuan untuk mengubah ciptaan Allah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof supaya mengambil tindakan tegas tanpa bersikap lepas tangan begitu sahaja.

Ujar beliau, menteri itu juga dituntut memberi penjelasan kepada rakyat agar program seperti itu tidak berulang lagi. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!