Kanak-Kanak Tanya Macam Mana Rupa Hantu Air Sebelum Jadi Mangsa Korban Banjir

Banjir di Kelantan mengorbankan dua nyawa sehingga semalam membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan buruh berusia 49 tahun.

Dalam kejadian di Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh, di sini, Mohammad Ilham Hasmadi ditemui lemas jam 8 pagi semalam selepas terjatuh ke dalam tali air ketika mengikut bapa saudaranya memasang pukat, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mangsa ditemui pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sawah dalam jarak 400 meter dari lokasi dia terjatuh.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Kita bersedih di atas kejadian itu kerana membabitkan kanak-kanak. Saya nasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka.

“Elakkan anak-anak kecil bermain air di musim banjir,” katanya dalam sidang media selepas Program Berkhatan Anak-anak Peringkat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kelantan di sini, semalam.

Dalam kejadian kedua, seorang buruh ditemukan lemas selepas tergelincir dalam sawah padi ketika mengangkat pukat di Kampung Jubakar di sini, semalam.

Mayat mangsa, Eh Phong Areang, 49, ditemui jam 11.30 pagi oleh penduduk kampung satu jam selepas terjatuh.

Adik mangsa, Eh Pian Areang, 46, berkata, abangnya keluar dari rumah jam 8 pagi untuk mengangkat pukat.

“Menurut seorang saksi, dia ternampak abang di dalam air sambil tangannya melambai-lambai seperti meminta tolong.

Tidak lama kemudian kelibat abang tidak kelihatan dan orang kampung segera menaiki bot mencarinya.

“Pencarian dilakukan di sekitar tempat dia terjatuh dan mayatnya ditemui selepas satu jam apabila dayung seorang penduduk terkena pada badan mangsa di dalam air,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat, di sini, semalam.

Eh Pian berkata, setiap kali banjir, abangnya selalu memasang pukat di situ kerana dianggap lubuk ikan darat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.

‘Macam mana rupa hantu air’

‘Macam mana rupa hantu air’. Itu pertanyaan terakhir Muhammad Ilham, 7, kepada ayahnya, Hasmadi Mohd Ali, 41, sebelum mengikut bapa saudara untuk memasang pukat di tali air di Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh, kelmarin.

Ibunya, Siti Fairuz Che Mood, 34, berkata, pertanyaan itu diajukan dalam nada berseloroh, menyebabkan dia dan suami berasa pelik.

“Sebelum Muhammad Ilham keluar rumah untuk ke tali air jam 6 petang semalam (kelmarin), ketika itulah dia tanya soalan pelik kepada ayahnya.

“Namun kami tidak mengesyaki apa-apa sehingga dimaklumkan Muhammad Eilham terjatuh dalam tali air dan dikhuatiri lemas sebelum jasadnya ditemui pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Anis di sini, semalam.

Mayat Muhammad Ilham ditemui jam 8 pagi semalam di kawasan sawah padi pada jarak 400 meter (m) dari lokasi dia terjatuh.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan petang kelmarin membabitkan 40 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu 50 penduduk kampung.

Siti Fairuz berkata, ini bukan pertama kali anak bongsu daripada tiga beradik itu memukat ikan bersama bapa saudaranya, Supian Mohd Ali, 32, namun insiden yang berlaku itu di luar jangkaan.

Katanya, walaupun sedih dan masih terkejut, dia bersyukur kerana jasad Muhammad Ilham ditemui.

“Sepanjang operasi, saya dan suami tidak putus berdoa selain menunaikan solat hajat supaya anak kami ditemui dan Alhamdulillah ia dimakbulkan.

“Saya reda dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anak kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!