PH Buat Siasatan Dalaman Isu Komplot Cuba Jatuhkan MB Perak

BATU GAJAH – PH Perak akan membuat siasatan dalaman berhubung dakwaan wujudnya usaha untuk menyingkirkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketua Sekretariatnya, V Sivakumar berkata, walaupun laporan polis telah dibuat pada Rabu lalu, PH Perak perlu membuat siasatan terperinci tentang perkara tersebut.

Beliau berkata, siasatan dalaman tersebut akan dibuat dalam masa terdekat dengan memanggil beberapa individu.

“Kita belum putuskan untuk panggil siapa kerana mereka cuma tuduh menuduh dan mereka tak sebut siapa. Kita nak tengok apa sebenarnya berlaku.

“Cuma saya nasihatkan hentikan semua ini kerana ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat di Perak malah menjadi isu di peringkat Pusat. Biar pihak berkuasa dan kami siasat perkara ini,” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala YB V Sivakumar di Podium Batu Gajah, di sini.

Pada 28 November lalu, Sivakumar membuat laporan polis berhubung dakwaan adanya usaha menjatuhkan Menteri Besar Perak.

Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah, berkata, beliau membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi bagi meminta siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan, sekali gus memastikan usaha menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang sekali lagi di Perak.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memaklumkan bahawa PH akan membuat laporan polis berhubung dakwaan yang dicetuskan oleh Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Sementara itu, Sivakumar berkata, pihaknya akan turut menghubungi pihak polis bagi mengetahui perkembangan terkini siasatan tersebut. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.