Pegawai Awam Terkejut Penyertaan Kursus Pascasiswazah Dibatalkan Selepas Cemerlang

PETALING JAYA: Sekumpulan pegawai awam yang mengikuti kursus pasca siswazah di Institut Pentadbiran Awam Negara (Intan) mendakwa mereka dibuang selepas mengikuti lebih separuh daripada kursus berkenaan susulan peningkatan mengejut dalam gred kelayakan.

52 pegawai terbabit sedang mengikuti kursus diploma pascasiswazah dalam bidang pentadbiran awam di Intan Bukit Kiara, Kuala Lumpur sejak April lepas. Mereka merupakan sebahagian daripada satu kumpulan besar 86 orang pegawai awam dari seluruh negara.

Mereka dijadualkan tamat kursus pada 7 Feb tahun depan dan telah mengikuti 80% kursus yang kini berbaki 3 modul lagi untuk disudahkan.

Kumpulan itu mendakwa mereka menerima surat bertarikh 30 Nov yang memaklumkan bahawa mereka gagal memenuhi gred lulus komponen personaliti (komitmen dan disiplin).

Mereka diberikan masa 2 hari untuk berkemas dan pulang ke tempat kerja masing-masing.

Seorang pegawai tersebut memberitahu FMT bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengurus Intan, mengeluarkan pekeliling pada 27 Nov memaklumkan gred lulus minimum bagi modul personaliti dan akademik dinaikkan dari B ke A-.

“Mula-mula mereka beritahu supaya kami tingkatkan pencapaian dalam tempoh 2 bulan. Kemudian mereka beritahu kami perlu capai tahap minimum A- dalam 2 minggu. Mereka ubah tiang gol secara mengejut,” kata beliau.

“Pada 27 Nov, pengarah Intan memberitahu kami bahawa markah lulus telah diubah dari B ke A-. Tiga hari selepas itu mereka suruh kami berkemas pulang kerana dikatakan tidak mencapai markah lulus.

“Kami mahu bertanya JPA, kenapa ini berlaku? Ini bukan seorang atau 2 orang pelajar, tetapi 52.”

Kumpulan 86 pelajar berkenaan disenarai pendek oleh Intan daripada 3,000 pemohon yang dianggap “kelompok terbaik” dalam kalangan penjawat awam dan menerima penilaian terbaik daripada jabatan masing-masing.

FMT difahamkan, daripada 52 pegawai yang dibuang daripada kursus tersebut, 5 memiliki ijazah PhD dan 20 ijazah sarjana.

Mereka yang mengambil cuti belajar untuk mengikuti kursus berkenaan akan kembali kepada jawatan masing-masing sebelum ini. Namun begitu, 4 kakitangan kontrak akan kembali sebagai penganggur kerana mereka dikehendaki meletakkan jawatan yang dipegang sebelum mengikuti kursus berkenaan.

“Kami meninggalkan rumah dan keluarga selama 8 bulan untuk datang ke Bukit Kiara dan belajar di sini,” kata pegawai awam itu.

Surat yang memaklumkan penamatan penyertaan kursus itu dan dilihat oleh FMT menyebut, anggota satu jawatankuasa khas yang menilai kursus diploma pentadbiran awam memutuskan untuk menaikkan gred lulus dari B ke A-.

Surat yang ditandatangani oleh seorang pegawai di pejabat ketua pengarah JPA itu dialamatkan kepada 52 pelajar terbabit dan disalinkan kepada Kementerian Pendidikan serta pegawai tertinggi JPA.

Seorang pelajar lain memberitahu FMT, 52 pegawai terbabit dijangka menerima kenaikan gaji yang besar selepas tamat kursus.

“Mereka yang bekerja keras dalam perkhidmatan awam dan menaiki tangga perjawatan sedikit demi sedikit berasa terkilan kerana graduan kursus ini akan mengatasi mereka, malah berkemungkinan besar naik pangkat mengatasi ketua masing-masing.

“Sebilangan graduan itu boleh menjadi timbalan pengarah jabatan mereka,” tambahnya.

FMT telah menghubungi Intan dan ketua pengarah JPA dan kini menunggu komen mereka. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.