Najib: Ini Benar-benar Lencun, Sila Sediakan Tuala

SHAH ALAM – Tindakan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan beberapa akta yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa gabungan itu memperakui bahawa ia sememangnya penting dalam menjaga keselamatan negara.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara sarkastik menyindir PH yang pada masa lalu berlumba-lumba membuat sidang media bagi membantah akta-akta yang kononnya zalim.

“Saya masih ingat. Internet dan rakyat juga tak pernah lupa.

“Pada masa lalu apabila kerajaan BN meminda ataupun memperkenalkan akta untuk menjaga keselamatan rakyat seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA), deras pemimpin PH bantah.

“Berlumba-lumba membuat sidang media. Berpuluh kenyataan akhbar serta rencana dibuat, lengkap dengan poster. Lengkap dengan pelbagai perkataan: kerajaan zalim. rakyat ditindas. saya ialah diktator, kerajaan paling teruk, hak kebebasan rakyat disekat dan sebagainya.

“Rakyat diajak turun ke jalanraya untuk berguling dan bantah bersama mereka dan aktivis-aktivis sehaluan dengan mereka. Skrip sama diulang untuk Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

“Begitu dengan akta SOSMA. Begitu juga untuk Akta Hasutan, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagainya. Mereka tuduh bahawa akta-akta ini zalim dan menindas demokrasi dan hak rakyat,” katanya menerusi catatan Facebook.

Terdahulu hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata kerajaan akan mengguna pakai beberapa akta yang kini dalam moratorium (penggantungan), jika ada kesalahan mempunyai unsur ancaman kepada keselamatan negara, orang awam dan mencetuskan ketegangan kaum.

Akta Hasutan, SOSMA dan POCA merupakan antara akta yang berada di dalam moratorium.

Gobind berkata perkara itu dipersetujui jemaah menteri ketika mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sewaktu dahulu ketika BN bertegas mengatakan bahawa undang undang ini tidak boleh dimansuhkan kerana ianya penting bagi menjaga keselamatan negara, PH pula gigih menjaja kononnya ia fitnah BN.

“Malah dimasukkan sebagai janji manifesto PRU14 bukan kitab mereka untuk memansuhkan segala akta-akta ini.

“Tetapi apa yang berlaku semalam ialah pengumuman bahawa kabinet kerajaan PH telah meluluskan untuk terus menggunakan semua undang-undang ini.

“Tidak akan dimansuhkan lagi. Alasan mereka: Ia penting untuk menjaga keselamatan rakyat disebalik segala dakwaan mereka undang-undang ini zalim.

“Ini benar-benar lencun.  Harap anda semua sentiasa bersedia dengan tuala. 

“Tuala good morning pun kena SST 10%,” sindir Najib. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.