Lebih Baik MCA Tumpu Pada Diri Sendiri Dan Berundur Dari BN, Kata Tokmat

SHAH ALAM – “Lebih baik MCA beri tumpuan kepada parti itu sendiri dan buat keputusan undur diri daripada BN,” demikian saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan susulan langkah parti komponen itu membuat resolusi membubarkan BN semalam.

Memetik laporan NSTP, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tokmat berkata MCA sepatutnya memutuskan keluar daripada BN, bukan membuat resolusi seumpama itu kerana parti tersebut tidak mempunyai locus standi atau hak untuk berbuat demikian.

Katanya, jika MCA berpendapat tiada lagi keperluan untuk bersama BN, lebih baik mereka yang mengundurkan diri.

“Tidak ada keperluan untuk MCA membuat resolusi itu, sepatutnya mereka yang undur diri seperti GERAKAN dan bekas parti komponen BN di Sarawak.

“Lebih senang dan lebih tertib untuk mereka undur diri daripada minta BN dibubarkan. Kita memang jangka MCA akan keluar BN, tapi tidak jangka mereka buat resolusi untuk bubar BN,” katanya.

Semalam, perwakilan pada Perhimpunan Agung MCA Ke-65 sebulat suara memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat (CC) untuk memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata untuk tujuan itu, CC parti terbabit akan memulakan proses dengan mengemukakan cadangan berkaitan resolusi pembubaran berkenaan.

Mohamad bagaimanapun berkata, UMNO dan parti komponen yang lain tidak berhasrat membubarkan BN buat masa ini kerana gabungan itu masih diperlukan, malah kepemimpinan sedang berusaha untuk menjenamakannya semula.

“…keputusan sudah dibuat, tapi keputusan itu tak cantik, tak molek dan di luar konteks.

“Lebih baik MCA beri tumpuan kepada parti itu sendiri dan buat keputusan undur diri daripada BN,” katanya.

Mohamad juga berkata, terpulang kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sama ada gabunhan itu perlu mengadakan pertemuan dengan MCA susulan resolusi tersebut. -SuaraTv 

One thought on “Lebih Baik MCA Tumpu Pada Diri Sendiri Dan Berundur Dari BN, Kata Tokmat

  • December 3, 2018 at 5:17 pm
    Permalink

    Elok bagus komponen keluar lebih selamat nama korang pun baik??? Sbb dia org buat apa pun tk jadi da??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.