Laporan Audit Bentang Kumpulan FELDA Rugi RM4.85 Bilion

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, mendedahkan FELDA dan kumpulannya merekodkan peningkatan ketara kerugian bersih masing-masing berjumlah RM5.73 bilion dan RM4.85 bilion bagi tahun 2017 berbanding RM251.24 juta dan RM729.6 juta pada 2016.

Laporan itu turut menyatakan kedudukan liabiliti semasa bersih FELDA dan kumpulan masing-masing berjumlah RM643.93 juta dan RM27.03 juta berbanding aset semasa bersih berjumlah RM343.17 juta dan RM1.234 bilion pada 2016.

“Aliran tunai aktiviti operasi FELDA dan kumpulan juga mengalami defisit, masing-masing berjumlah RM1.20 bilion (2016: RM1.16 bilion) dan RM503.49 juta (2016: RM578.54 juta).

“FELDA dan kumpulan juga mempunyai pinjaman daripada institusi kewangan masing-masing berjumlah RM7.8 bilion (2016: RM6.82 bilion) dan RM12.14 bilion (2016: RM9.08 bilion).

“FELDA juga diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Penekanan bagi tempoh tiga tahun berturut-turut. Antara faktor diberi pendapat tanpa teguran disebabkan agensi berkenaan mengalami aliran tunai atau baki kumpulan wang defisit yang memberi kesan terhadap usaha berterusan agensi dan ketidakpatuhan terhadap piawaian perakaunan yang tidak signifikan,” menurut laporan itu.

Kerajaan pada Ogos lalu mengumumkan akan membentangkan kertas putih mengenai FELDA berikutan kecelaruan pengurusan dan dibelenggu hutang yang tinggi.

Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, juga dilaporkan berkata beliau sudah meneliti draf pertama laporan itu dan mendapati terdapat kecurangan serius yang membabitkan masalah kewangan agensi kerajaan berkenaan.

Malah kertas putih bagi mendedahkan keadaan kewangan dan pengurusan FELDA dijadual akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Berdasarkan laporan audit itu juga, FELDA antara yang mencatatkan baki pinjaman tertinggi berjumlah RM7.799 bilion pada tahun 2017 bagi kategori badan berkanun Persekutuan. – BERITA HARIAN

One thought on “Laporan Audit Bentang Kumpulan FELDA Rugi RM4.85 Bilion

  • December 6, 2018 at 8:55 pm
    Permalink

    Siasat ada seleweng org2 dulu tu…?? Rugi mcmna..?? Ada rasuah
    Pecah amanah tu??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.