Kerajaan Hidupkan Semula Akta Hasutan Dengan 3 Syarat

KUALA LUMPUR : Kerajaan akan mengguna pakai beberapa akta yang kini dalam moratorium (penggantungan) jika ada kesalahan mempunyai unsur ancaman kepada keselamatan negara, orang awam dan mencetuskan ketegangan kaum.

Akta dalam moratorium ketika ini, antaranya Akta Hasutan 1948; Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747); Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan jenayah 1959 (POCA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata perkara itu dipersetujui jemaah menteri ketika mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu.

“Jumaat lalu, Jemaah menteri sudah bincang dan keputusan ini dipersetujui, akta dalam moratorium ini akan diguna pakai untuk tiga keadaan kesalahan khas.

“Penggunaan akta berkenaan (dalam moratorium) akan diteruskan buat masa ini. Cadangan pindaan masih dalam proses, dan akan diumumkan apabila kerajaan siap merangka dasar baharu,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Pembangunan Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kerajaan bersetuju menggunakan akta dalam moratorium dalam isu kontroversi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya.

Muhyiddin berkata dua akta itu adalah Akta Hasutan 1948 dan Akta CMA.

Ketika ditanya dakwaan salah laku gangguan seksual di stesen radio berbahasa Inggeris BFM 89.9, Gobind berkata pihaknya maklum isu berkenaan dan akan menyiasat lanjut.

“Kita akan minta (siasat) BFM beri penjelasan dan laporan berhubung isu ini. Buat masa ini, saya tidak boleh ulas lanjut,” katanya.

Ketika ditanya perkembangan penubuhan Majlis Media Negara, Gobind berkata ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Kita belum tubuhkan (Majlis Media) tetapi sedang jalankan perbincangan susulan. Kalau ada struktur, kita akan umumkan,” katanya.

Mengulas pelantikan selebriti, Hans Isaac sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Gobind berkata beliau akan membuat pengumuman dalam minggu ini. – BERITA HARIAN

One thought on “Kerajaan Hidupkan Semula Akta Hasutan Dengan 3 Syarat

  • December 3, 2018 at 5:15 pm
    Permalink

    Kerajaan tk perlu berlembut jika nyata ancaman rusuhan berlaku??? Rakyat jgn cuba cabar buat kecuh dgn isu tk besar mana pun?? Byk isu2 lebih berfaedah lebih utama dari ini?? Isu libat 2 puak hindu..apa sal agama lain masuk campur?,biar mereka sama2 sendiri selesaikan hal mereka?? Rumah kita org ceroboh bolih ke??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.