Generasi Muda Perlu Kekal Tinggal Di Luar Bandar, Elak Jadi Miskin Bandar

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun memberitahu generasi muda perlu kekal tinggal alau mengurangkan proses migrasi ke bandar supaya dapat memain peranan penting memajukan kawasan luar bandar.

Rina berkata seperti dalam laporan Bernama, generasi muda luar bandar bermigrasi ke bandar dalam usaha mencari pekerjaan dan kehidupan lebih baik, namun amat menyedihkan apabila sebahagian terhimpit dengan kos sara hidup seterusnya menjadi golongan miskin bandar.

Pun begitu, tindakan generasi muda untuk bermigrasi tidak boleh disalahkan kerana berusaha mencari kehidupan yang lebih baik dan mencari peluang pekerjaan.

“Kita tidak boleh salahkan mereka kerana mereka mahu mencari kehidupan lebih baik, apa yang perlu kita lakukan ialah wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang meningkatkan sosio-ekonomi di kawasan luar bandar.

“Akhirnya ini dapat mewujudkan kawasan luar bandar mampan yang mampu membantu seluruh masyarakat,” katanya.

Menurutnya, buat permulaan, beliau dan kementeriannya mahu memastikan setiap rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya.

“Saya tidak mahu bercakap tentang bina bangunan bertingkat di kawasan luar bandar selagi masih ada masyarakat luar bandar tidak menikmati kemudahan asas.

“Kita sudah adakan kajian dan buat pelan pembangunan luar bandar, jadi kita kini fokus untuk bantu masyarakat luar bandar,” katanya. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.