Dua Kementerian Terima Teguran Punitif, Akan Disiasat Secara Lanjut

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengangkutan adalah antara kementerian yang mendapat teguran secara punitif berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Siri Kedua.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, berkata teguran punitif itu bagaimanapun bukan bermaksud kesalahan dilakukan kementerian terbabit sudah dibuktikan.

“Perlu ada siasatan lanjut oleh pihak berkaitan dan jika ia membabitkan kecuaian awam, maka siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Jika ia membabitkan pihak ketiga seperti kontraktor atau konsultan, ia juga akan disiasat oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, di Bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Madinah menyampaikan Buku Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri Kedua kepada Kiandee dan taklimat hampir tiga jam kepada ahli jawatankuasa

Dalam perkembangan lain, Kiandee berkata, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, akan dipanggil PAC esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, PAC juga akan memanggil beberapa individu lain termasuk Madinah dan bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

“Kita tidak mempunyai had masa untuk menyelesaikan siasatan namun berharap pada sidang (Dewan Rakyat) akan datang, cadangan itu dapat dibawa ke Parlimen seperti kes yang disiasat PAC ketika ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.