Walaupun Sekejap Tapi Meninggalkan Kesan – Radin

KUALA LUMPUR: Biarpun hanya muncul tiga minit, pengalaman penyampai radio ERA, Radin berlakon dalam drama Mencintaimu Mr Photographer, baru-baru ini cukup meninggalkan kesan.

Sekalipun watak cameo, Radin beroleh pengalaman baharu apatah lagi episod dijayakan menjadi perhatian ramai selain peluang bergandingan dengan bintang utama, Syafiq Kyle dan Hannah Delisha.

Radin berkata, peluang beraksi bersama Syafiq dan Hannah membuka matanya terhadap dunia lakonan.

“Jika diikutkan, saya memang suka berlakon. Biarpun watak cameo dan hanya muncul tiga minit, saya cukup teruja.

“Saya beroleh pengalaman baharu. Bayangkanlah, babak tiga minit itu disiapkan dalam tempoh enam jam. Bukan mudah jadi pelakon, tapi itulah keseronokannya,” katanya kepada BH Online.

Namun, Radin atau nama sebenarnya, Radin Amir Effendi menambah, dia terpaksa mengorbankan minat berlakon disebabkan komitmen di konti radio ERA.

“Iyalah, komitmen lakonan mengambil masa lama. Saya belum bersedia berlakon sepenuh masa.

“Ketika ini, saya perlu beri keutamaan kepada dunia radio ERA dan mengacara program PM Live. Namun, kalau ada tawaran berlakon yang tidak mengambil masa panjang, saya boleh pertimbangkan,” katanya.

Radin berkata, tawaran berlakon dalam drama Mencintaimu Mr Photographer diterima selepas kejayaannya merangkul trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Mei lalu.

“Selepas drama terbabit, ada dua tawaran berlakon diterima selain sebuah program travelog. Namun, saya terpaksa tolak kerana kekangan masa,” katanya yang sudah tiga tahun bersama radio ERA.-bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.